Kementerian Pendidikan diminta bertegas laksana pengajaran tulisan khat - Mahfuz

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 3, 2019 12:05 MYT
Datuk Mahfuz Omar, berkata, apa juga sudut seni yang memberi kebaikan kepada pelajar-pelajar wajar diajar di sekolah. - Gambar fail
Meskipun diasak sesetengah pihak dan pertubuhan mewakili institusi pendidikan Cina, Kementerian Pendidikan diminta bertegas untuk terus melaksanakan pengajaran tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 bermula tahun 2020.
Parti Amanah Negara juga berharap kementerian itu akan dapat membuat memberi penjelasan selain membuat rundingan serta perbincangan dengan pihak yang menolak langkah itu.
Naib presidennya Datuk Mahfuz Omar berkata, apa juga sudut seni yang memberi kebaikan kepada pelajar-pelajar wajar diajar di sekolah.
Apa tah lagi katanya tulisan khat merupakan warisan Bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.
“Bagi saya bahawa tidak hanya tertumpu kepada khat tetapi kepada seni yang berkaitan dengan seni dan kaligrafi yang boleh diajar kepada semua orang dan tidak tertumpu kepada khat yang tertumpu kepada jawinya sahaja, tetapi kepada apa saja seni penulisan yang baik.
“Saya percaya Kementerian Pendidikan boleh berikan satu penjelasan kepada mereka untuk depa dapat memahami,” katanya selepas melancarkan Hari Terbuka Perkeso dan sepagi bersama Pemimpin masyarakat di Kompleks Kraftangan Malaysia di Alor Setar, Kedah pada Sabtu.
Isu pengenalan tulisan khat dan jawi sebelum ini mendapat bantahan dua pertubuhan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang menolak langkah tersebut.
#JAWI #kaligrafi #Kementerian Pendidikan #Mahfuz Omar #Parti Amanah Negara #pendidikan #perpaduan #seni khat