Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula keperluan mendaftar tenaga pengajar di bawah badan bukan kerajaan(NGO) daripada luar negara yang berkhidmat di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kebanyakkan tenaga pelajar di bawah NGO ini tidak mengajar di dalam bilik darjah atau secara rasmi, yang memerlukan mereka untuk berdaftar dengan kementerian pendidikan.

"Kita akan tengok balik (pendekatan saringan guru NGO luar negara) sebab sesetengah daripada mereka datang sebagai sukarelawan," tambah Mahzir Khalid dalam satu sidang media, di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau berkata demikian ketika ditanya keperluan garis panduan baru bagi tenaga pengajar di bawah NGO yang mahu berkhidmat di Malaysia, bagi mengelakkan kes pedofil seperti Richard Huckle berlaku lagi di Malaysia.

Huckle sebelum ini, dilaporkan mengaku mencabul 23 kanak-kanak ketika dia bertugas sebagai guru tuisyen di Malaysia.

Bagaimanapun Mahdzir berkata, nama Huckle tidak pernah tersenarai dalam data kementerian pendidikan.

"Dia tidak pernah jadi guru di Malaysia. Namanya tiada pun dalam senarai di kementerian pendidikan.

"Mungkin dia menjadi guru di tempat lain tapi dia datang sini sebagai NGO dan bekerja dengan siapa, kita tidak tahu. Namun dalam senarai guru, namanya tiada di Malaysia. Itu kena jelas, kerana kementerian mempunyai saringan guru luar negara," tambahnya.