Kementerian Pendidikan bersiap sedia sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan banjir bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar terutamanya bagi sekolah di kawasan pantai timur.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata segala langkah persediaan menghadapi musim tengkujuh itu dilaksanakan menerusi penubuhan jawatankuasa dalam Operasi Payung sejak Oktober lepas.

"Setakat ini semua gerak kerja persediaan berjalan lancar yang mana kita melibatkan peringkat daerah, negeri dan seterusnya kementerian. Dari sini kita sudah kenal pasti kawasan hotspot sekolah yang berkemungkinan dilanda banjir.

"Jadi kita akan pastikan segala bentuk sokongan dan bantuan akan dapat disampaikan nanti (kepada pihak sekolah dan calon SPM)," katanya kepada pemberita selepas melawat calon SPM yang menjawab peperiksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Khair berkata menerusi gerak kerja dalam Operasi Payung itu, agensi penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan tentera turut diarahkan supaya berada dalam keadaan siap siaga untuk melancarkan perjalanan peperiksaan itu sekiranya berlaku banjir nanti.

"Macam banjir (kilat) di Pulau Pinang semalam, seramai 267 calon SPM terjejas akibat banjir ini, namun dengan segala langkah persediaan kita sudah ambil, maka semua calon tersebut dapat menjawab peperiksaan ini dengan lancar tanpa sebarang masalah," katanya.

Sementara itu, Khair berkata seramai 105 calon SPM di seluruh negara tahun ini menjawab peperiksaan itu di hospital.

Beliau berkata daripada jumlah itu, empat calon mengambil peperiksaan di HTAA.

"Saya berpuas hati dengan perjalanan peperiksaan di HTAA hari ini yang lancar dan saya mengucapkan terima kasih kepada pengarah hospital ini (Datuk Dr Ardi Awang) kerana menyediakan bilik yang selesa kepada calon terlibat menjawab peperiksaan," katanya.

-- BERNAMA