Kementerian Pengangkutan bincang dengan empat peneraju industri perkapalan antarabangsa

Bernama
Oktober 3, 2023 22:00 MYT
Loke berkata, perbincangan perbincangan itu berkisar tentang cita-cita Malaysia menjadi destinasi pilihan global untuk pemunggahan penghantaran barang dan logistik, serta komitmen penyahkarbonan negara dalam sektor maritim. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengadakan perbincangan dengan peneraju industri terkemuka empat syarikat perkapalan antarabangsa utama dalam lawatan kerja ke Eropah baru-baru ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, perbincangan itu berkisar tentang cita-cita Malaysia menjadi destinasi pilihan global untuk pemunggahan penghantaran barang dan logistik, serta komitmen penyahkarbonan negara dalam sektor maritim.
"Inisiatif-inisiatif ini penting untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan jumlah perdagangan antarabangsa dan mencapai matlamat Ekonomi MADANI," katanya dalam catatan Facebooknya pada Selasa.
Semasa lawatan kerja itu, Loke telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) A.P. Moller - Maersk Vincent Clerc di Copenhagen, Denmark; Ketua Pegawai Eksekutif Hapag-Lloyd AG Rolf Habben Jansen dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Mark Frese di Hamburg, Jerman.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MSC Kapt Gianluigi Aponte dan Presiden Kumpulan Diego Aponte di Geneva, Switzerland; serta Ketua Pegawai Eksekutif CMA CGM Rodolphe Saade di Marseille, Perancis.
- BERNAMA
#Kementerian Pengangkutan #MOT #Anthony Loke #syarikat perkapalan antarabangsa