[TERKINI] Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja Capai Gencatan Senjata Serta-Merta – Baca Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Kementerian Pengangkutan seru orang ramai manfaat perkhidmatan BAS.MY

Bernama 28/07/2025 | 06:30 MYT
Menteri Pengangkutan Anthony Loke menggunakan perkhidmatan bas berhenti-henti BAS.MY selepas pelancarannya di Dataran Medan di sini hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR: Kementerian Pengangkutan menyeru orang ramai untuk memanfaatkan perkhidmatan bas berhenti-henti BAS.MY yang disediakan di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) yang dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan perkenal perkhidmatan BAS.MY di bawah Program SBST dengan 13 laluan di Kota Setar, disokong peruntukan RM78.5 juta untuk tempoh lima tahun.
  • Anthony Loke gesa rakyat manfaatkan perkhidmatan agar prestasi dapat dibuktikan kepada Kementerian Kewangan bagi kelulusan tambahan peruntukan.
  • Kemalangan maut libatkan BAS.MY disiasat polis, Kementerian Pengangkutan bantu dari aspek teknikal dan syarikat bas diwajib patuhi peraturan operasi.


Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan besar dalam menyediakan perkhidmatan itu bagi membantu rakyat khususnya di kawasan bandar yang terlibat.

"Sebab untuk saya meyakinkan Kementerian Kewangan bagi peruntukan kepada saya (Kementerian Pengangkutan), saya kena tunjuk data, saya kena tunjuk prestasi sama ada perkhidmatan ini benar-benar membantu rakyat.

"Jadi kalau rakyat tak gunakan perkhidmatan ini walaupun disediakan pelbagai kemudahan, tambang yang cukup murah, kalau mereka tak gunakan maka kita tak dapat meyakinkan Kementerian Kewangan untuk bagi banyak lagi peruntukan untuk kita tambah perkhidmatan ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan BAS.MY Kota Setar di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah Dzowahir Ab Ghani.

Loke berkata bagi menjayakan 13 laluan bas di bawah program SBST Kota Setar, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM78.50 juta untuk tempoh lima tahun atau RM15.70 juta setahun.

Beliau berkata sejak mula beroperasi pada 1 Jun lepas, kira-kira 30,000 pengguna telah menggunakan perkhidmatan itu dan sekitar 40,000 bagi bulan ini di daerah Kota Setar.

"Jadi kita harap lebih ramai orang guna lebih baik. Sebab kita punya kos adalah kos tetap. Kita punya kontrak itu kos tetap satu tahun dalam RM15.70 juta untuk Kedah ini. Berapa orang penumpang pun kita bayar kos sama.

"Jadi kalau lebih ramai penumpang pakai ataupun menggunakan perkhidmatan ini kos purata untuk setiap penumpang akan menurun. Jadi berbaloi untuk kerajaan belanja duit sebesar itu dan kalau kita lihat lebih ramai pengguna pakai," katanya.

Sementara itu, Loke berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak polis berkaitan siasatan kemalangan maut membabitkan BAS.MY My Kota Setar di Kota Sarang Semut, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya hanya membantu dari segi siasatan teknikal, manakala sama ada pemandu itu cuai atau tidak dan akan didakwa atau sebaliknya terpulang kepada siasatan polis.

"Sudah tentu kita mensyaratkan syarikat-syarikat bas ini sentiasa mematuhi peraturan dari segi kelajuan, latihan pemandu yang telah pun diperkenalkan kepada pengendali syarikat," katanya.

-- BERNAMA





#perkhidmatan bas berhenti-henti #BAS MY #Anthony Loke #Kementerian Pengangkutan