KAMPAR: Kementerian Pengangkutan akan meneliti cadangan untuk menghadkan kelajuan kenderaan maksimum 30 kilometer sejam (km/j) di zon terpilih di Kuala Lumpur dan 50 km/j bagi zon lain.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata penelitian itu akan melibatkan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk pemegang taruh.

Katanya perbincangan itu juga turut akan memastikan sebarang keputusan yang dibuat dapat diimbangi dengan pelbagai faktor.

“Kita tahu bahawa ada pihak mengusulkan supaya kita dapat mengurangkan had laju, tapi kita lihat di Malaysia ini punca kemalangan sebenarnya mempunyai faktor yang pelbagai, dan bukan sahaja berdasarkan kepada kelajuan.

“Kelajuan yang dikatakan daripada 50 kepada 30 sudah pastinya akan mendapat reaksi bercampur-campur.

“Tapi kita akan mengimbangi semua faktor itu dan melihat serta mencari yang terbaik. Itu satu cadangan yang dihantar pada kita dan kita tengok macam mana, sebab, seperti mana yang saya katakan, pelbagai faktor dan kita akan lihat dari semua sudut,” jelasnya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran kutipan dana MCA bagi pembinaan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampus UTAR di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Ka Siong diminta mengulas berhubung Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan bekerjasama bagi melaksanakan had laju 30 km/j di zon terpilih di ibu negara dan 50 km/j bagi zon lain.

Pada Mei tahun lalu, MIROS mencadangkan had laju had laju 30 km/j bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalan raya kebangsaan untuk tahun 2021 hingga 2030.

Cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada kempen dijalankan di bawah Minggu Keselamatan Jalan Raya Global PBB ke-6 (UNGRSW) yang menyasarkan pelaksanaan had 30 km/j di kawasan yang menyaksikan pejalan kaki bercampur dengan trafik.

Malaysia antara negara peserta mandat 18 resolusi keselamatan jalan raya melalui Deklarasi Stockholm yang dicapai pada Februari 2020 yang menyaksikan 80 menteri berjanji untuk mengurangkan hingga separuh kematian jalan raya menjelang 2030.