[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Kementerian perlu tangkas urus aduan rakyat, elak tular di media sosial - KSN

Bernama 30/09/2025 | 09:54 MYT
Shamsul Azri (foto) menegaskan kementerian yang tangkas mengurus aduan rakyat akan kekal relevan, manakala sikap sambil lewa boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian yang memberi perhatian serius terhadap aduan rakyat akan kekal relevan, manakala sikap sambil lewa dalam menanganinya boleh menjadi "barah" yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam.


Ringkasan AI
  • Ketua Setiausaha Negara menegaskan kementerian yang tangkas mengurus aduan rakyat akan kekal relevan, manakala sikap sambil lewa boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam.
  • Kamus Kategori Aduan Biro Pengaduan Awam dilancarkan bagi menyelaras sistem aduan merentas kementerian dan meningkatkan kecekapan pengurusan aduan.
  • Sebanyak 21 kementerian menerima penarafan Platinum dan tujuh kementerian menerima penarafan Emas atas usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan melalui pengurusan aduan yang berkesan.


Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata ketangkasan kementerian dalam menguruskan aduan rakyat kini menjadi satu keperluan selari dengan perubahan landskap negara.

"Ini kerana sesuatu aduan yang tidak ditangani dengan baik dan segera akan mudah tersebar, lebih-lebih lagi dengan penggunaan media sosial seperti TikTok dan Facebook pada masa ini," katanya pada majlis Apresiasi Penarafan Pengurusan Aduan Awam Kementerian Tahun 2025, di sini hari ini.

Shamsul Azri berkata pengurusan aduan yang baik wajib diberikan penekanan kerana ia bukan sahaja meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, malah menjadi sebahagian daripada agenda reformasi pentadbiran di bawah kerangka Malaysia MADANI.

"Oleh yang demikian, aduan tidak boleh dipandang dari sudut negatif sahaja, tetapi perlulah dilihat dari sudut positif. Aduan yang diterima sebenarnya menunjukkan terdapat peluang dan ruang dalam menambah baik penyampian perkhidmatan awam," katanya.

Pada majlis itu, Kamus Kategori Aduan Biro Pengaduan Awam dilancarkan sebagai panduan kepada semua kementerian untuk mengkategori aduan awam, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan aduan awam.

"Kamus ini akan berperanan dalam menyelaras sistem aduan merentas kementerian dan agensi agar setiap aduan dapat ditangani dengan lebih cepat, adil dan berkesan," katanya.

Sebanyak 21 kementerian menerima penarafan Platinum antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Kesihatan.

Kementerian lain Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Luar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, tujuh kementerian menerima penarafan Emas antaranya Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Majlis itu diadakan bertujuan mengiktiraf usaha kementerian dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui pengurusan aduan yang berkesan dengan mematuhi pekeliling, tatacara dan peraturan sedang berkuat kuasa.

Selain itu, ia juga dilihat dapat memberikan motivasi kepada kementerian dalam meningkatkan kecekapan serta kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada orang awam serta menggalakkan penciptaan inovasi dan idea kreatif bagi menangani aduan terhadap perkhidmatan kerajaan.

-- BERNAMA



#ketua setiausaha negara #aduan rakyat #imej perkhidmatan awam #Aduan Biro Pengaduan Awam #Shamsul Azri Abu Bakar