MALAYSIA

Kementerian Perpaduan Negara bakal anjur Persidangan Pembinaan Negara Bangsa

Bernama 03/07/2025 | 20:45 MYT
Aaron berkata, persidangan itu bakal merintis hala tuju baharu menerusi penghasilan Pelan Tindakan Pembinaan Negara Bangsa sebagai ikhtiar memperkukuh asas perpaduan nasional secara menyeluruh. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan Persidangan Pembinaan Negara Bangsa pada Oktober ini dalam usaha memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia, kata Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, persidangan itu bakal merintis hala tuju baharu menerusi penghasilan Pelan Tindakan Pembinaan Negara Bangsa sebagai ikhtiar memperkukuh asas perpaduan nasional secara menyeluruh.

"Konsep negara bangsa yang masih dalam perbincangan ini akan kita bawakan dan ketengahkan untuk menjadi satu haluan utama yang kita akan teruskan di Kementerian Perpaduan Negara.

"Sekarang ini kita belum muktamadkan, mungkin kita akan jemput negara-negara jiran tetapi saya melihat ini ada nilai sejarah, kita akan jemput tokoh-tokoh sejarah, profesor dalam bidang tertentu untuk sama-sama mengangkat kertas untuk dibincangkan pada masa itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Aaron berkata, Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Peringkat Kebangsaan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang selama empat hari bermula 17 Julai ini diharap menjadi tapak bagi perpaduan di antara pengunjung menerusi penyertaan dalam pelbagai aktiviti menarik yang diadakan.

"Banyak acara diadakan antaranya Unity Walk. Terdapat juga pelbagai jualan dan aktiviti kebudayaan sehingga waktu malam serta kegiatan rumah panjang serta persembahan kumpulan pelbagai etnik yang menarik dan unik," katanya.

Beliau berkata, SMP 2025 juga melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan serta swasta, pameran aset keselamatan, Jualan MADANI dan persembahan artis terkenal menerusi malam warisan.

Pulau Pinang merupakan lokasi ketiga penganjuran acara tahunan itu selepas kali pertama berlangsung di Kuching, Sarawak pada 2023 diikuti Johor Bahru tahun lepas.

Sambutan kali ini, menampilkan beberapa segmen utama yang mencerminkan kepelbagaian serta keunikan etnik di Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan pada 19 Julai.

Segmen utama SMP 2025 ialah pameran rumah 24 etnik seperti Siam, Chetti, Kerinci, Melayu Brunei, Baba Nyonya, Kedayan, Penan dan Bisaya serta pameran susur masa sejarah negara oleh Jabatan Muzium dan Arkib Negara.

Tidak ketinggalan dipamerkan perkampungan Kadazan Dusun dan Orang Asli manakala segmen terakhir ialah "foodunites" iaitu himpunan makanan warisan etnik di 24 reruai.

-- BERNAMA



#Orang Asli #Kadazan Dusun #asas perpaduan #nilai sejarah