Skip to main content

Malaysia

Kementerian Perpaduan Negara teliti tambah baik Akta Pengantaraan 2012

Dr Wan Azizah (tiga, kiri) bersama Aaron  merasmikan Projek Sosial Kolaboratif Mediasi Komuniti Perumahan Awam Seri Kota hari ini. - Gambar Bernama
Dr Wan Azizah (tiga, kiri) bersama Aaron merasmikan Projek Sosial Kolaboratif Mediasi Komuniti Perumahan Awam Seri Kota hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedang meneliti cadangan penambahbaikan Akta Pengantaraan 2012 bagi menyediakan asas perundangan yang lebih jelas untuk memperkukuh pelaksanaan perkhidmatan Mediasi Komuniti di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang berkata skop Akta Pengantaraan 2012 di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) ketika ini tidak secara khusus merangkumi pengoperasian Mediasi Komuniti oleh JPNIN.

Beliau berkata perkhidmatan mediasi serta latihan dan pentauliahan mediator komuniti oleh JPNIN ketika ini berlandaskan Seksyen 8(d) Akta Rukun Tetangga 2012, namun peruntukan itu masih belum mencukupi untuk menyediakan kerangka khusus yang merangkumi keseluruhan pengoperasian perkhidmatan berkenaan.

“Sehubungan itu, saya memohon JPNIN mengadakan satu mesyuarat bersama BHEUU untuk meneliti cadangan penambahbaikan, termasuk cadangan pindaan terhadap Akta Pengantaraan 2012, supaya terdapat asas perundangan yang lebih jelas bagi perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Sosial Kolaboratif Mediasi Komuniti Perumahan Awam Seri Kota, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Aaron turut meminta JPNIN bersama Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) menjalankan kajian perbandingan dengan negara yang mempunyai kerangka perundangan mediasi komuniti yang lebih khusus, antaranya Singapura, India dan Sri Lanka.

“Singapura melalui Community Mediation Centres Act 1997, India melalui Mediation Act 2023 dan Sri Lanka melalui Mediation Boards Act 1988, maka perbandingan ini penting untuk kita melihat bagaimana aspek kuasa, fungsi, pentauliahan mediator, proses mediasi dan perlindungan pihak yang terlibat diatur melalui undang-undang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan terus memperluas jaringan Pusat Mediasi Komuniti menerusi penubuhan 12 pusat baharu tahun ini di lokasi strategik seluruh negara termasuk Kota Kinabalu, Sabah; Miri, Sarawak; Pontian, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; dan Shah Alam, Selangor.

“Pusat ini akan menjadi pusat rujukan masyarakat dalam mendapatkan maklumat, khidmat nasihat awal serta saluran penyelesaian bagi isu dan pertikaian komuniti yang bersesuaian.

“Pendekatan ini membolehkan konflik dikenal pasti dan ditangani pada peringkat awal, sebelum berkembang menjadi pertikaian yang lebih serius serta menjejaskan hubungan dalam komuniti,” katanya.

Mengenai Pusat Mediasi Komuniti Perumahan Awam Seri Kota, Aaron berkata pusat itu merupakan pusat mediasi komuniti ke-11 JPNIN yang dipilih berdasarkan beberapa faktor, termasuk jumlah penduduk yang menghampiri 6,000 orang, kemudahan setempat yang tersedia, permintaan komuniti serta keperluan menangani isu kejiranan di lapangan.

Beliau berkata penubuhan pusat itu juga merupakan kesinambungan daripada cadangan resolusi Bengkel Strategik Pembangunan Inisiatif K2K anjuran Think City bersama agensi kerajaan dan pemegang taruh pada 2024.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement