MALAYSIA

Kementerian Pertahanan junjung titah Agong perangi rasuah tanpa kompromi

Pia Ernadya 19/01/2026 | 09:07 MYT
Mohamed Khaled berkata, kementerian menjunjung kasih peringatan baginda terutama berkaitan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menegaskan komitmen penuh untuk memerangi rasuah seiring titah tegas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar gejala tersebut dibanteras tanpa perlindungan kepada mana‑mana pihak.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pertahanan komited membanteras rasuah seiring titah tegas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar gejala tersebut dibanteras tanpa perlindungan kepada mana-mana pihak.
  • Sultan Ibrahim menegaskan bahawa amalan rasuah tidak sepatutnya berlaku dalam pentadbiran dan keselamatan negara, memerlukan integriti semua pihak serta menitahkan agar amalan rasuah diperangi secara besar-besaran, termasuk pemberi dan ejen.
  • Baginda kecewa dengan kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia hingga peringkat tertinggi, menyeru untuk siasatan dan tindakan tegas terhadap pemberi rasuah, serta menyatakan keinginan untuk membanteras rasuah di pelbagai agensi, termasuk di dalam Parlimen.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian menjunjung kasih peringatan baginda terutama berkaitan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kita menjunjung kasih akan titah tersebut dan peringatan yang diberikan.

"Memang soal salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah adalah perkara yang wajar dielakkan, lebih-lebih lagi dalam Angkatan Tentera Malaysia.

“Jadi, peringatan baginda itu kita ambil secara serius dan akan dipastikan ia menjadi pegangan supaya perkara sama tidak berulang seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian SASar Residensi Sateria @ Sungai Besi, pada Isnin.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa segala perancangan pembangunan negara tidak akan mencapai kesempurnaan sekiranya amalan rasuah terus berleluasa dalam pentadbiran dan sektor keselamatan.

Dalam titah baginda di Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 hari ini, baginda mengingatkan bahawa keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan bergantung kepada integriti semua pihak.

Sultan Ibrahim turut melahirkan rasa kecewa terhadap kewujudan kes rasuah dalam ATM, termasuk di peringkat tertinggi, dan menintahkan supaya amalan rasuah diperangi secara besar-besaran.

Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa usaha membanteras rasuah tidak boleh hanya tertumpu kepada penerima, sebaliknya pemberi, ejen serta mana-mana pihak yang bersubahat juga perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas.

“Saya pernah menyebut sebelum ini bahawa saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya saya telah berjaya menemuinya.

“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia hingga ke peringkat tertinggi. Agaknya selepas ini saya patut melantik seorang sarjan sahaja sebagai Panglima Angkatan Tentera.

“Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau the tip of the iceberg. Saya yakin ramai lagi di luar sana sama ada di Jabatan Kastam, imigresen, polis dan sebagainya, termasuk juga yang berada di dalam dewan ini, yang akan terus diburu sampai jumpa,” titah Seri Paduka Baginda.




#skandal rasuah tentera #Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #Mohamed Khaled Nordin