Kementerian Pertahanan akan menjalinkan usahasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memberikan peluang kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih 'menggangur' di negara ini supaya terlibat dengan industri kawalan keselamatan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong berkata, daripada terus berharap dengan perkhidmatan pengawal-pengawal keselamatan warga asing, adalah lebih baik memanfaatkan kepakaran veteran ATM di dalam industri berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu sudah dipanjangkan kepada KDN supaya sektor industri kawalan keselamatan negara dapat distruktur semula dengan melibatkan veteran-veteran ATM, terutamanya mereka yang bersara lebih awal.

"Kementerian tidak boleh urus sendiri, kita perlu ada kolaborasi di antara Kementerian Pertahanan dengan KDN.

"KDN memang memainkan peranan sangat penting, kami sudah memanjangkan permintaan ini dan berusaha supaya memikir balik bagaimana kita struktur sektor pengawal keselamaatan supaya veteran boleh dapat pekerjaan yang lebih baik

"Kalau negara kita hanya mengupah pengawal keselamatan warga asing, tidak ada kepakaran... itu adalah salah dan kita tidak boleh bergantung kepada pengawal keselamatan warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan majlis ramah mesra dengan veteran ATM Sabah, di Hotel Tabung Haji, Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, pihak kementerian akan berbuat sehabis mungkin untuk membela nasib veteran ATM di seluruh negara termasuklah melibatkan hal kebajikan, mengerjakan haji dan isu pekerjaan selepas bersara.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan menetapkan satu golongan sasaran terutamanya mereka yang baru sahaja bersara daripada perkhidmatan untuk diberikan pekerjaan sesuai secara berperingkat nanti mengikut perancangan kementerian.