MALAYSIA

Kementerian Pertahanan perkukuh penggunaan digital dan AI - Khaled

Bernama 31/01/2026 | 12:45 MYT
Mohamed Khaled berucap pada Perasmian dan Penyerahan Program Kampung Angkat MADANI (MINDEF) di Kampung Tuan Seh, Tanjung Sedili, hari ini. - Gambar Bernama
KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan akan memperkukuh penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem tadbir urus Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai langkah pencegahan dan penambahbaikan bagi menangani isu rasuah serta salah guna kuasa.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pertahanan akan memperkukuh penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan dalam sistem tadbir urus Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai langkah pencegahan dan penambahbaikan bagi menangani isu rasuah serta salah guna kuasa.
  • Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan bahawa penambahbaikan akan dilakukan secara menyeluruh terhadap sistem dan proses dalam ATM serta kementerian untuk memastikan lebih telus, berintegriti, dan sukar dimanipulasi.
  • Pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu dijangka dapat memperkukuh integriti serta membaiki imej ATM, dengan fokus pada usaha memulihkan imej dan reputasi pasukan tersebut.


Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penambahbaikan itu akan dilakukan secara menyeluruh terhadap sistem dan proses dalam ATM serta kementerian, selain melibatkan anggota dan pegawai.

"Sistem dan proses akan diperbaiki melalui pendigitalan, penggunaan kecerdasan buatan, penerapan prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) serta penubuhan unit khas bagi menangani aduan.

"Sistem dan proses ini perlu diperbaiki supaya lebih telus, berintegriti dan sukar dimanipulasi," katanya selepas Majlis Perasmian Program Kampung Angkat MADANI-MINDEF di Pantai Teluk Mahkota, Tanjung Sedili di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata melalui pendigitalan, pihaknya dapat mengesan perolehan yang dibuat di pelbagai peringkat, termasuk mengenal pasti sama ada sesuatu perolehan dimenangi atau diberikan berulang kali kepada syarikat sama.

Beliau berkata melalui AI, kementerian boleh menilai sama ada sesuatu barangan itu sesuai atau tidak, harga perolehannya berbanding yang dibuat oleh negara lain serta mengesan kecenderungan sikap individu yang diberi tanggungjawab dalam jawatan berkaitan perolehan.

Sementara itu, Mohamed Khaled ketika mengulas pelantikan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu berkata ia akan membantu memperkukuh integriti serta membaiki imej ATM.

"Saya percaya pelantikan beliau dibuat dalam keadaan dan suasana yang mencabar bagi ATM dan antara tumpuan utama beliau, bersama kementerian ialah usaha memulihkan imej dan reputasi pasukan ini.

"Saya yakin perkara ini hanya dapat dicapai sekiranya wujud persefahaman dan kerjasama antara semua kepimpinan di setiap peringkat, baik di kementerian mahupun ATM," katanya.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai PAT baharu bermula esok dengan dinaikkan pangkat kepada Jeneral.

Mohamed Khaled berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada Khamis (29 Jan).

-- BERNAMA


#Angkatan Tentera Malaysia #kecerdasan buatan #Rasuah #integriti