Kementerian Pertahanan rancang tambah kekuatan anggota tentera di Sabah - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled berkata Sabah berhadapan dengan pelbagai cabaran tradisional dan bukan tradisional yang perlu ditangani. - Gambar/ Bernama
TAWAU: Kementerian Pertahanan merancang menambah kekuatan anggota tentera di Sabah sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kawalan keselamatan di negeri itu, kata menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ringkasan AI
- Kementerian Pertahanan merancang tambah kekuatan tentera di Sabah, fokus tingkatkan kawalan keselamatan negeri itu.
- Usaha termasuk wujudkan pangkalan laut baharu, pasang teknologi keselamatan tinggi dron, dan tambah radar di pesisir pantai.
- Mohamed Khaled tekankan penglibatan masyarakat penting dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin.
"Begitu juga kita meletakkan teknologi keselamatan tinggi dron di perairan Sabah, kita juga sedang berusaha untuk menambah radar di pesisir pantai di Sabah agar tidak ada kawasan yang kita tidak 'nampak'," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Kubota di sini hari ini.
Ketika berucap, Mohamed Khaled berkata, selain ATM dan pasukan keselamatan lain, soal keselamatan negara turut memerlukan penglibatan masyarakat bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin.
"Dalam kajian Kertas Putih Pertahanan, kita perhatikan ada peranan yang wajar dimainkan oleh masyarakat, melalui Whole of Government of Society (pendekatan menyeluruh masyarakat), lebih-lebih lagi (masyarakat) di Sabah ini sekurang-kurangnya boleh menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan negara.
"Masyarakat boleh tampil melaporkan jika melihat berlaku sebarang jenayah, supaya tindakan boleh diambil, kita perlu masyarakat dapat menyumbang menjayakan ekosistem keselamatan negara," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Karnival Hari Keluarga ATM Sabah berjaya menjadi platform menjamin kebajikan dan kesejahteraan warga kerja ATM, selain memperkukuh sokongan semangat.
"Karnival ini juga secara langsung membuka peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami peranan strategik ATM dalam memelihara keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara," katanya.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

