MALAYSIA

Kementerian rancang strategi jangka panjang pasti keterjaminan makanan negara - Mohamad Sabu

Pia Ernadya 12/06/2025 | 09:23 MYT
Antara langkah yang diambil termasuklah merancang pengeluaran hasil seperti beras di pelbagai lokasi seperti Sabah dan Sarawak. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangka pelbagai strategi bagi memastikan keterjaminan makanan negara tidak terlalu bergantung kepada satu sumber atau lokasi pengeluaran sebagai langkah menghadapi risiko perubahan iklim.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara langkah yang diambil termasuklah merancang pengeluaran hasil seperti beras di pelbagai lokasi seperti Sabah dan Sarawak.

“Sekarang ni kita tak boleh bergantung kepada suatu tempat sahaja.

“Sebab itu dalam jangka panjang, pengeluaran beras contohnya, perlu bergantung kepada Sabah dan Sarawak kerana kita tahu ancaman iklim boleh jejaskan pengeluaran di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Prapelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan(HPPNK) 2025.

Dalam pada itu, Mohamad juga berkata, perbezaan iklim antara faktor utama kementerian merancang strategi agihan kawasan pengeluaran hasil secara lebih menyeluruh.

“Keadaan cuaca di Sabah dan Sarawak berbeza dengan Semenanjung. Begitu juga antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

“Kadang-kadang banjir besar berlaku di Pantai Timur, tetapi tidak di Pantai Barat.

“Bahkan, cuaca di utara dan selatan Semenanjung juga berbeza-beza,” katanya.

Sehubungan itu, kementerian sentiasa merangka langkah untuk menyesuaikan jenis tanaman dan waktu pungutan hasil agar selari dengan perubahan iklim semasa.

Mengulas lanjut tentang strategi dalam memastikan haiwan ternakan tidak terjejas dalam musim panas, Mohamad berkata pihaknya sentiasa berkerja rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“..namun jika ia datang dalam bentuk serangan luar kawalan (penyakit) seperti ternakan babi di Sepang dan Kuala Langat..maka kami akan mengambil tindakan penghapusan.

“Ini sentiasa dipantau dari semasa ke semasa dan Alhamdulillah, ternakan lain seperti ayam, telur tidak terjejas tahun ini,” jelasnya.


#Mohamad Sabu #keterjaminan makanan #pengeluaran beras #perubahan iklim