Kementerian teliti semula keputusan berkaitan jumlah pengguna media sosial - Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu diambil susulan isu terkini melibatkan Kecerdasan Buatan (AI) Grok yang menjana kandungan mudarat berunsur lucah membabitkan wanita dan kanak-kanak yang menyalahi undang-undang. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi sedang meneliti kewajaran untuk menyemak semula penetapan jumlah pengguna bagi setiap platform media sosial di Malaysia yang dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)].
Ringkasan AI
- Kementerian Komunikasi sedang meneliti semula jumlah pengguna bagi setiap platform media sosial di Malaysia yang dianggap pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)], susulan isu kandungan lucah AI Grok yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyatakan bahawa penilaian semula jumlah pengguna mungkin melalui sedikit penyelarasan, dengan MCMC bertanggungjawab untuk mengkaji perkara tersebut bagi memastikan kepatuhan undang-undang.
- MCMC telah mengarahkan sekatan sementara terhadap akses AI Grok di Malaysia berikutan penyalahgunaan dalam menjana kandungan lucah, manakala kerajaan berancang menerapkan pengesahan umur pengguna media sosial melalui mekanisme EKYC menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, dan MyDigital ID.
Beliau berkata penetapan jumlah pengguna itu mungkin melalui sedikit penyelarasan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dipertanggungjawabkan untuk mengkaji perkara tersebut.
"Kita sedang dalam proses untuk menilai kerana yang sangat popular di Malaysia adalah TikTok, Facebook dan beberapa yang lain... X mungkin kurang, tidak terlalu popular tetapi memandangkan masalah Grok ini berlaku maka pihak kementerian dan MCMC melihat ada kewajaran untuk meneliti semula keputusan jumlah pengguna di Malaysia.
"Saya serahkan kepada MCMC untuk mengkaji apa had yang sesuai, apa tindakan yang perlu diambil," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Peringkat Lembah Pantai di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya di sini hari ini.
Pada 15 Dis lepas, MCMC memaklumkan langkah penetapan jumlah pengguna itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
Bagaimanapun, X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter memaklumkan jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang, iaitu 8 juta orang.
Pada 11 Jan lepas, MCMC mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa hari yang sama berikutan penyalahgunaannya bagi menjana kandungan lucah dan eksplisit secara berulang.
Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan berhasrat melaksanakan pengesahan umur pengguna platform media sosial menerusi penggunaan tiga dokumen rasmi iaitu MyKad, pasport dan MyDigital ID.
"Ini yang sedang diteliti oleh mekanisme pengesahan identiti Electronic Know Your Customer (EKYC)... kita llihat ada beberapa negara telah berjaya (melaksanakan had umur) tetapi mekanisme yang kita akan guna berbeza kerana Malaysia mempunyai keunikan.
"Kita ada mekanisme MyKad, sebagai contoh... bukan semua negara mempunyai kad (pengenalan) seperti kita... jadi, beberapa perkara ini unik kepada Malaysia maka kita akan usahakan mengikut acuan kita," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


