Kementerian tunggu laporan lengkap kes guru ketip telinga murid guna dawai kokot

Astro Awani
September 29, 2019 05:16 MYT
Mangsa dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk rawatan lanjut. Foto ihsan Sabah Post
Kementerian Pendidikan masih menunggu laporan lengkap berkenaan kejadian guru yang mengetip telinga seorang murid sekolah menggunakan dawai kokot di Likas, Sabah.
Menterinya Dr Maszlee Malik berkata, laporan lengkap insiden itu kini sedang disediakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.
Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu, seorang murid Tahun Empat diketip telinga kirinya menggunakan dawai kokot oleh gurunya sehingga berdarah.
Difahamkan, ia akibat kegagalan murid itu menyiapkan kerja sekolah Matematik yang diberikan.
“Kita masih lagi menunggu laporan lengkap dari JPN Sabah. Kita mahukan laporan lengkap mengenainya,” katanya.
Mangsa setakat ini telah dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, keluarga murid berkenaan telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.
#benda berbahaya #dawai kokot #Habibi Majinji #Jabatan Pendidikan Negeri #Kanak-kanak #Kanun Keseksaan #Kementerian Pendidikan #kerja sekolah #ketip telinga #Kota Kinabalu #laporan #Likas #Maszlee Malik #pelajar #polis #Sabah #sengaja menyebabkan kecederaan #senjata