PUTRAJAYA: Kementerian Undang-undang dicadang untuk diwujudkan semula, dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) sebagai organisasi terasnya untuk memastikan perkara berkaitan pindaan undang-undang negara dilaksanakan dengan lebih efisien.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata draf mengenai cadangan itu sudah siap namun masih perlu memperhalusi kebaikan dan keburukannya.

Kementerian Undang-undang pernah wujud dengan nama Kementerian Dalam Negeri dan Keadilan pada 1957 sebelum ditukar kepada Kementerian Keadilan pada 1959. Dikenali sebagai Kementerian Undang-Undang pada 1992 sebelum dibubarkan pada 8 Mei 1995 dan dikenali sebagai BHEUU yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Bercakap kepada media selepas majlis perhimpunan bulanan BHEUU di sini hari ini, Wan Junaidi berkata cadangan mengembalikan Kementerian Undang-undang itu berasas kerana kini terdapat hampir 20 agensi di bawah BHEUU, selain perlu memikul tugas membawa aspirasi dan transformasi yang dilakukan kerajaan.

"Kerajaan mempunyai banyak perkara yang perlu dilaksanakan di dalam Parlimen dan dalam masa yang sama kalau kita lihat transformasi yang kita laksana ini, transformasi kerajaan tidak boleh lari daripada pindaan rang undang-undang, pindaan kepada peraturan dan pindaan kepada banyak perkara," katanya.

Wan Junaidi berkata BHEUU ketika ini bukan sahaja terlibat dalam urusan Parlimen tetapi juga pindaan undang-undang yang melibatkan agensi dan kementerian lain.

Sebagai contoh, katanya cadangan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen, BHEUU yang akan bertanggungjawab untuk membuat kajian mengenai perkara itu.

"Bukan kita nak buat benda-benda baru, kita kembali ke era sebelumnya, iaitu BHEUU ini adalah satu kementerian dan bukan macam sekarang di bawah JPM," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan membentangkan cadangan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk mendapatkan persetujuan secara prinsip sebelum membawa cadangan itu ke Kabinet.

Wan Junaidi berkata proses untuk melaksanakan cadangan itu juga akan mengambil masa kerana ia melibatkan beberapa pindaan dan perubahan dalam banyak sudut, khususnya dari sudut sumber manusia dan sumber kewangan.

Ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021, Wan Junaidi berkata kedudukan negara dalam indeks itu boleh ditingkatkan semula selepas tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang terbabit.

Beliau berkata kedudukan dalam CPI adalah berlandaskan pendedahan mengenai rasuah yang banyak.

"Kalau sebuah negara mempunyai rasuah banyak, tetapi tiada orang bangkitkan perkara itu, ia tidak akan diketahui dan persepsi dia lain. Tapi di negara kita, benda bukan rasuah pun orang kata rasuah juga, ini yang meningkatkan persepsi...bukan saya kata rasuah tidak wujud," katanya.

Wan Junaidi berkata tindakan kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terlibat rasuah juga boleh meningkatkan persepsi bahawa aktiviti rasuah itu semakin menjadi-jadi.

"Tapi Insya-Allah kalau persepsi itu meningkat oleh tindakan SPRM dan polis, saya cukup yakin pada suatu ketika nanti ia (kedudukan Malaysia dalam CPI) bertambah baik," katanya.

Kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 yang dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M) adalah di tangga 62 berbanding tangga 57 pada 2020, dan tangga 51 pada 2019.

-- BERNAMA