Kementerian WP mahu latih pegawai bahasa

Bernama
Oktober 11, 2015 02:02 MYT
Tengku Adnan menggesa DBKL mengambil tindakan tegas menurunkan papan tanda iklan yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul. - Gambar Fail
Agensi dan jabatan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan disaran mengenal pasti beberapa kakitangan mereka untuk dilatih sebagai pegawai bahasa yang menjadi tempat rujukan bagi menyelesaikan masalah penggunaan bahasa kebangsaan.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pegawai itu tidak semestinya daripada kumpulan profesional tetapi sesiapa sahaja yang sanggup melaksanakan tugas tambahan itu.
"Saya percaya Dewan Bahasa dan Pustaka sedia melatih pegawai ini dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul," katanya pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2015 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Normah Malik.
Dalam pada itu, Tengku Adnan menggesa DBKL mengambil tindakan tegas menurunkan papan tanda iklan yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul.
#bahasa kebangsaan #Bulan Bahasa Kebangsaan 2015 #Dewan Bandaraya Kuala Lumpur #Tengku Adnan Tengku Mansor