Skip to main content

Malaysia

Kemerdekaan amanah perlu dipelihara demi keamanan, keharmonian negara - Chow

[TB]_Chow Kon Yeow Pulau Pinang_FB Chow Kon Yeow
Chow berkata tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” membawa mesej bahawa kemajuan tidak seharusnya dilihat menerusi angka ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik untuk rakyat. - Gambar Facebook Chow Kon Yeow
Advertisement

GEORGE TOWN: Kemerdekaan bukan sekadar memperingati detik kebebasan negara, sebaliknya merupakan amanah yang perlu terus dipelihara demi keamanan, keharmonian dan memastikan Malaysia terus melangkah ke hadapan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata sepanjang 69 tahun negara menikmati kemerdekaan, Malaysia telah melalui pelbagai cabaran dan perubahan, namun keupayaan rakyat untuk mengetepikan perbezaan, menghormati kepelbagaian serta mendahulukan keharmonian negara kekal penting.

“Setiap kali kita melaungkan Merdeka!, kita bukan sekadar mengingati detik kebebasan, tetapi juga mengingatkan diri kita bahawa kemerdekaan satu amanah yang perlu terus dipelihara demi keamanan, mempertahankan keharmonian dan memastikan Malaysia terus melangkah ke hadapan.

“Pulau Pinang dibina oleh rakyat pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang. Kepelbagaian inilah kekuatan kita. Justeru, marilah kita terus memelihara inti patinya, saling menghormati dan berganding bahu membina masa depan yang lebih baik berpaksikan Visi Penang2030 yang digagaskan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 esok.

Chow berkata tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” membawa mesej bahawa kemajuan tidak seharusnya dilihat menerusi angka ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.

Beliau berkata perkara itu termasuk peluang pekerjaan berkualiti, perumahan mampu milik, kos sara hidup yang lebih terkawal serta persekitaran selamat dan lestari untuk seisi keluarga.

Seiring aspirasi itu, Chow berkata Pulau Pinang akan terus memberikan komitmen kepada agenda Kerajaan MADANI, khususnya dalam memastikan pembangunan negeri terus berkembang tanpa mengabaikan pembangunan sosioekonomi rakyat.

Beliau berkata meskipun negeri itu kecil dari segi keluasan, sumbangannya kepada Malaysia amat besar menerusi sektor perindustrian dan teknologi selain pendidikan, pelancongan serta inovasi dan negeri itu akan terus memainkan peranan sebagai antara pemacu pertumbuhan negara.

“Tekad kita jelas, menyokong agenda Malaysia MADANI, memperkukuh pembangunan Pulau Pinang dan memastikan manfaat kemajuan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat. Biarpun berbeza wajah, tetapi kita satu jiwa.

“Meskipun kita berbeza cerita, tetapi kita satu negeri dan inilah Pulau Pinang kita,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement