MALAYSIA
Kemeriahan 'Kucar Surer' semarakkan ukhuwah anak Terengganu di perantauan

Pada program berkenaan, sebanyak empat kawah bubur asyura dimasak dengan kerjasama erat antara ahli Pesat dan para sukarelawan - Foto Persatuan Anak Terengganu
SEPERTI irama senduk menyatu dalam kawah, program “Kucar Surer” anjuran Persatuan Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) bukan sekadar aktiviti memasak bubur asyura.
Sebaliknya, ia adalah lambang kasih, warisan dan perpaduan yang membara dalam kalangan anak perantau.
Berlangsung di pekarangan Wisma Pesat, suasana gamat dengan gelak tawa, bau harum rempah ratus, dan gotong-royong telah menghidupkan semula tradisi nenek moyang yang penuh makna.
Menurut Presiden Pesat, Mohd Sham Aziz Ismail, program “Kucar Surer” bukan sahaja mencerminkan nilai kebersamaan dan semangat gotong-royong yang menjadi identiti masyarakat Terengganu, malah berperanan sebagai platform memperkukuh hubungan sesama ahli dan komuniti setempat."Sebahagian besar bubur asyura yang dimasak telah diagihkan kepada ahli Pesat dan keluarga mereka serta anak-anak Terengganu yang menetap di sekitar Lembah Klang.
"Penganjuran program ini dibiayai sepenuhnya melalui dana persatuan, selain disokong oleh sumbangan ikhlas daripada ahli-ahli Pesat serta individu perseorangan yang sentiasa menyokong inisiatif kemasyarakatan seperti ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam masa sama, Mohd Sham menyeru agar semua ahli Pesat terus mengekalkan semangat kebersamaan dan berharap amalan murni seperti gotong-royong dapat terus diperkasa dalam penganjuran aktiviti-aktiviti akan datang demi kebaikan bersama.
Pada program berkenaan, sebanyak empat kawah bubur asyura dimasak dengan kerjasama erat antara ahli Pesat dan para sukarelawan.
Bubur Asyura merupakan sejenis makanan tradisional yang sinonim dengan sambutan bulan Muharam, khususnya pada 10 Muharam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami