KOTA KINABALU: Sabah dan serata rakyat amat bertuah serta sangat teruja dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang kini berada di negeri ini dalam program Kembara Kenali Borneo.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata program jelajah yang sedang berlangsung amat bermakna kepada rakyat di negeri ini kerana berpeluang untuk menatap dari dekat wajah pasangan diraja itu bersama anakanda baginda.

Beliau berkata ada juga rakyat yang berkesempatan untuk bertegur sapa di beberapa lokasipersinggahan sepanjang pengembaraan yang dilalui Seri Paduka berdua dan delegasi.

"Ternyata keprihatinan, kemesraan dan kemuliaan hati tuanku berdua akan kekal terpahat di hati rakyat untuk selamanya," katanya berucap pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri sempena Program Kembara Kenali Borneo (Sabah) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu malam tadi.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat pada majlis itu. Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim Haji M Yahya.

Hajiji berkata rakyat amat mengagumi kesediaan dan kesanggupan Seri Paduka berdua menelusuri dan memandu sendiri sepanjang Lebuhraya Pan Borneo dari Tawau hingga ke Kota Kinabalu sebelum meneruskan kembara ke Sipitang hari ini dan seterusnya ke Sarawak.

"Semoga program Kembara Kenali Borneo yang bersejarah ini akan kekal terukir indah di dalam hati sanubari Seri Paduka dan kaum kerabat selamanya," katanya.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, kini berangkat melakukan perjalanan sejauh 2,154 kilometer Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Dalam pada itu, Hajiji turut memaklumkan Seri Paduka bahawa perdagangan Sabah telah mencatat rekod tertinggi dalam sejarah iaitu melonjak naik hingga RM118.1 bilion tahun lepas berbanding hanya RM87.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Menteri berkata walaupun baru mengambil alih tampuk kerajaan negeri dalam tempoh tiga tahun lepas, kerajaan berupaya membawa masuk lebih daripada RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah, di samping rekod tertinggi dalam kutipan hasil negeri yang mencecah hingga RM7 bilion.

Menurut Hajiji dengan prestasi ekonomi yang baik serta hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang jelas diperkenalkan dua tahun lepas telah berjaya merealisasikan usaha murni kerajaan negeri membangunkan semula ekonomi Sabah.

Beliau juga berikrar untuk terus menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka dan kedaulatan institusi diraja yang menjadi payung dan lambang perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia sejak sekian lama.

-- BERNAMA