DREBAR

Kemewahan generasi ke-enam BMW 7 Series tiba di Malaysia

Astro Publication 29/01/2016 | 10:21 MYT

Bagi mereka yang telah puas mengumpul duit untuk membeli kereta mewah yang paling lincah dan moden, BMW Malaysia persembahkan 7 Series generasi terkini yang baharu dilancarkan di Malaysia. Terdiri daripada sepasang varian iaitu 740Li dan 730Li, BMW serba baharu ini datang dengan pelbagai ciri istimewa.

BMW 7 Series serba baharu lebih panjang iaitu 5,238mm berbanding generasi sebelum ini 5,219mm (+ 19mm). Namun begitu, dimensi lain seperti lebar, tinggi dan tapak roda tidak berubah. Ini menjadikan BMW 7 Series serba baharu sebagai model paling besar yang pernah dihasilkan oleh BMW.

Kalau dilihat dari luar, antara perbezaan kedua-dua varian ini adalah pada lampu hadapannya. 730Li diberi lampu bulat berkembar LED penuh manakala 740Li pula lengkap dengan lampu lazer yang mampu menyuluh sehingga jarak 600 meter dalam mod lampu tinggi. Jarak itu adalah dua kali ganda berbanding lampu LED.

Antara fokus kejuruteraan pada 7 Series baharu ini adalah untuk mengurangkan berat; penggunaan ‘Carbon Core’ adalah contoh penting. Konsep ini dibangunkan hasil peralihan teknologi yang dipelajari daripada pembuatan kereta BMW i.

Penggunaan CFRP (Carbon Fibre Reinforced Plastic) juga adalah yang pertama bagi segmen ini selain penggunaan bahan-bahan ringan serta kukuh lain seperti aluminium, magnesium dan besi regangan tinggi.

Dynamic Damper Control membuat penampilan sulung bagi BMW, satu ciri suspensi udara yang dipasang standard. Pada kelajuan memandu 120km/j, badan kenderaan akan direndahkan sebanyak 10 milimeter untuk meningkatkan aspek aerodinamik. Manakala jarak kelegaan tanah boleh ditingkatkan sebanyak 20 milimeter ketika ia dipandu pada kelajuan sehingga 35km/j.

Enjin
Varian 730Li dilengkapi enjin TwinPower Turbo; dan walaupun hanya mempunyai empat silinder dengan sesaran dua liter, ia mampu menghasilkan output setinggi 285hp dan 400Nm. 0-100km/j dilakukan dalam masa 6.3 saat sambil memberi kadar pembakaran petrol sebanyak hanya 5.8 liter setiap 100km.

Untuk 740Li pula, enjin TwinPower Turbo tiga liter, enam silinder sebaris ini pula mampu memberi 326hp dan tork setinggi 450Nm yang membakar petrol pada kadar 6.6 liter setiap 100km. pecutan 0-100km/j dicapai secepat 5.5 saat.

Kotak gear adalah jenis automatik lapan kelajuan yang memacu kedua-dua roda belakang.

Pemanduan
Bukan luar biasa jika stereng sebuah 7 Series lazimnya hanya akan digengam oleh tangan seorang pemandu diupah, tetapi ramai juga pemilik yang memandunya sendiri. Tidak kira siapa pun, antara yang dapat dilihat di dalam kereta ini adalah paparan sentuh (Touch Display) pada monitor bersaiz 10.25 inci beresolusi tinggi dan anti silau. Dengan skrin tersebut, BMW 7 Series serba baharu boleh dioperasikan seperti menggunakan sebuah telefon pintar atau tablet dengan menyentuh fungsi yang diinginkan pada skrin paparan tersebut.

Inovasi terkini yang diperkenalkan pada model ini adalah Kawalan Gestur sebagai cara baharu untuk mengawal atau mencapai fungsi-fungsi tertentu termasuk mengawal suara muzik atau menjawab atau memutuskan panggilan telefon dengan hanya menggerakkan satu jari atau tangan.

Yang pasti, penumpang di kerusi belakang merasai tahap kemewahan terbaik; termasuk kerusi yang boleh dilaras secara motor elektrik beserta fungsi urutan. Penumpang juga boleh melaras semua fungsi hiburan dan keselesaan melalui BMW Touch Command, iaitu sebuah tablet bersaiz tujuh inci.

Akhir sekali adalah bumbung kaca panoramik yang dikenali sebagai Sky Lounge. Bumbung ini didatangkan dengan bilah langsir elektrik, fungsi gelongsor untuk tujuan ventilasi dan satu ciri baharu iaitu lampu LED yang mempunyai 15,000 elemen cahaya di dalam kaca bumbung panoramik tersebut.

BMW 730Li dan 740Li dijual pada harga RM698,800 dan 888,800 masing-masing. Namun, untuk meraikan ulangtahun ke-100 BMW, harga istimewa akan diberikan untuk kedua-dua varian selagi ia didaftarkan pada tahun ini. Dengan itu, harga 730Li adalah RM598,800 dan 740Li pula adalah 788,800 (Harga atas jalan, tidak termasuk insurans).

# # 7 Series # TwinPower #BMW