Kemiskinan haid di Malaysia tidak membimbangkan

Bernama
Mei 16, 2023 21:45 MYT
Nancy (belakang, tengah) menyaksikan majlis penyerahan replika cek daripada Kotex bernilai RM 10,000 kepada 10 buah sekolah pada program Dana Kotex She Can Project di Star Boulevard, Kuala Lumpur, 16 Mei 2023. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kemiskinan haid di Malaysia dilihat berada pada tahap tidak membimbangkan susulan pemberian tuala wanita sentiasa dilaksanakan oleh kerajaan terutama kepada golongan sasar seperti Orang Asli, B40 dan mereka yang tidak berkemampuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pemberian tuala wanita itu dijalankan bagi memastikan kumpulan terlibat berada dalam keadaan bersih sewaktu menjalani tempoh haid.
"Di kementerian, kita memang membantu golongan B40 yang merupakan kumpulan sasar. Kita akan berterusan membantu golongan ini supaya mereka ini tidak ketinggalan memandangkan kita difahamkan ada menggunakan sabut kelapa (sebagai tuala wanita)... ia tidak bersih dan tidak sihat," katanya
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek kepada 10 sekolah dengan masing-masing menerima geran berjumlah RM10,000 melalui dana terkumpul menerusi projek Kotex She Can untuk menjadikan sekolah lebih kondusif bagi pelajar perempuan.
Katanya, program itu memperkenalkan tentang kebersihan haid yang suatu ketika dahulu merupakan perkara jarang dibincangkan kerana perasaan segan dan malu.
Bagaimanapun, katanya sudah tiba masanya masyarakat perlu pandang ke hadapan hal ini dan tidak lagi menganggap ia sebagai tabu supaya remaja wanita dapat mengetahui cara terbaik menguruskan diri apabila berada dalam tempoh haid.
"Dengan adanya media sosial seperti TikTok dan Youtube, ia dapat memberi pengetahuan dan didikan dengan lebih mudah serta dapat diterima oleh masyarakat, malah kaum lelaki juga," katanya.
-- BERNAMA
#Nancy Shukri #kemiskinan haid #tuala wanita #golongan tidak mampu