Skip to main content

Malaysia

Kempen pemulihan SSM bantu syarikat kemas kini dokumen statutori tertunggak

Agenda Awani
Norhaiza Jemon (kiri) diwawancara oleh penyampai Astro AWANI, Nazri Kahar dalam program Agenda AWANI, pada Selas lalu.
Advertisement

Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertujuan membantu syarikat yang mempunyai dokumen statutori tertunggak memperbetulkan kedudukan pematuhan mereka.

Pengarah Bahagian Pematuhan Korporat SSM, Norhaiza Jemon berkata, syarikat diberi peluang untuk mengemas kini penyata tahunan, penyata kewangan dan maklumat pemunyaan benefisial dalam tempoh yang lebih fleksibel selain menerima bimbingan daripada pihak SSM.

Menurutnya, rekod tahun lalu menunjukkan kadar pematuhan bagi penyata tahunan mencapai 95 peratus, namun masih terdapat lima peratus syarikat yang gagal menyerah simpan dokumen tersebut.

"Bagi penyata kewangan pula, kadar pematuhan adalah 87 peratus, bermakna masih terdapat 13 peratus syarikat yang belum memenuhi kewajiban itu.

"Manakala bagi maklumat pemunyaan benefisial, kadar pematuhan ialah 92 peratus dengan baki lapan peratus lagi masih belum membuat serah simpan," katanya dalam Agenda AWANI pada Selasa.

Image
SSM

Beliau berkata, kumpulan syarikat yang masih gagal mematuhi keperluan itu merupakan pihak yang perlu dibantu supaya dapat mengemas kini dokumen statutori mereka.

Norhaiza menjelaskan, antara bantuan yang ditawarkan menerusi kempen tersebut ialah pemberian tempoh masa yang lebih fleksibel untuk menyelesaikan tunggakan selain khidmat nasihat mengenai tanggungjawab pematuhan.

Katanya, ramai syarikat masih kurang memahami implikasi kegagalan menyerah simpan dokumen statutori sehingga berdepan kompaun yang semakin meningkat dan kos penyediaan dokumen yang tinggi.

"Apabila kompaun telah tertunggak, syarikat menjadi lebih sukar untuk kembali mematuhi peraturan kerana mereka perlu menanggung bayaran penalti di samping kos penyediaan dokumen yang berkaitan.

"Melalui kempen ini, SSM berusaha membantu mengurangkan beban tersebut termasuk menerusi pengurangan kompaun dan sokongan yang diperlukan bagi membolehkan syarikat kembali mematuhi undang-undang," katanya.

Pada masa sama, syarikat yang menyertai kempen berkenaan perlu menandatangani akujanji sebagai komitmen untuk melaksanakan tindakan pemulihan dalam tempoh yang ditetapkan.

Bagi penyata tahunan dan maklumat pemunyaan benefisial, SSM memberikan tempoh tiga bulan daripada tarikh akujanji dibuat untuk syarikat melengkapkan proses serah simpan.

Sementara itu, syarikat diberi tempoh enam bulan untuk mengemukakan penyata kewangan memandangkan penyediaannya lebih kompleks, khususnya bagi kes yang melibatkan tunggakan bertahun-tahun serta memerlukan proses pengauditan.

Dalam pada itu, syarikat yang tidak lagi aktif turut diberi tempoh tiga bulan untuk mengemukakan permohonan memotong nama syarikat daripada daftar SSM.

 

Must Watch Video

Advertisement