Kemuka dokumen palsu demi tender lebih RM8 juta, tiga pengurus syarikat direman

Nur Fazlizai Ali
Oktober 16, 2020 06:14 MYT
Ketiga-tiga suspek dikatakan telah mengemukakan dokumen permohonan yang mempunyai butir matan palsu semasa menyertai proses tender sebuah kementerian. - PDRM
KUALA TERENGGANU: Tiga pengurus syarikat direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kerana mengemukan dokumen palsu untuk mendapatkan tender pembekalan makanan yang bernilai lebih RM8 juta.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu Roszita Md Saad pada Jumaat.
Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, suspek yang berusia 29 hingga 57 tahun itu ditahan di Pejabat Terengganu pada Khamis ketika hadir memberikan keterangan.
Ketiga-tiga suspek dikatakan telah mengemukakan dokumen permohonan yang mempunyai butir matan palsu semasa menyertai proses tender sebuah kementerian bagi pembekalan makanan di negeri Terengganu.
Difahamkan, setiap satu tender itu bernilai RM2.7 juta.
Suspek dikatakan telah melakukan kesalahan itu pada tahun 2018.
#pengurus syarikat #dokumen palsu #tender #SPRM #Akta SPRM #terengganu