Kemunculan harimau bukan kerana pembangunan - Exco Perak

Dakwaan kemunculan harimau di sekitar Bukit Bangkong, Tanah Hitam di Chemor sejak minggu lepas bukan disebabkan oleh pembangunan di kawasan berkenaan. - Foto hiasan
IPOH: Dakwaan kemunculan harimau di sekitar Bukit Bangkong, Tanah Hitam di Chemor sejak minggu lepas bukan disebabkan oleh pembangunan di kawasan berkenaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim.
Beliau berkata sebaliknya, kehadiran haiwan liar itu dipercayai berpunca daripada populasi yang semakin bertambah, sekali gus memerlukan kawasan yang lebih luas untuk berkeliaran.
"Saya rasa kalau dari segi projek perumahan yang dilaksanakan di kawasan itu, tidaklah sampai masuk ke kawasan habitat harimau.
"Pada awal tahun ini, terdapat laporan mengenai aduan kesan (tapak kaki) harimau berlegar-legar di kawasan yang sama," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Program Green Tech Perak 2025 bertemakan ESG for Industrial Advantage di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin dilaporkan berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau yang mengakibatkan dua ekor lembu ternakan mati dan lima ekor lagi hilang di Bukit Bangkong pada Jumaat lepas.
Dalam perkembangan lain, Teh berkata kerajaaan negeri komited memperkukuh dasar, merancakkan penggunaan teknologi hijau dan memastikan setiap pembangunan bergerak seiring dengan pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
"Kelestarian bukan lagi pilihan, tetapi keperluan untuk memastikan daya saing pelaburan, daya tahan operasi dan relevansi ekonomi jangka panjang," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


