NATIONAL
Kemungkinan tarif AS terhadap Malaysia dikurangkan - PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana kerajaan AS telah bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia.
KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia sebanyak 24 peratus kemungkinan dapat dikurangkan.
Ringkasan AI
- Kerajaan menjangkakan tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas Malaysia sebanyak 24 peratus kemungkinan dapat dikurangkan kerana AS bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia.
- Rundingan antara Malaysia dan AS masih di peringkat awal dan belum ada sebarang persetujuan muktamad kedua-dua pihak, serta tertakluk kepada Non-Disclosure Agreement (NDA).
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa segala perbincangan mengenai tarif timbal balik tidak dapat didedahkan kerana melibatkan kepentingan strategik dan sensitif, dan sebarang persetujuan akan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan Parlimen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana kerajaan AS telah bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata rundingan itu masih di peringkat awal dan belum ada sebarang persetujuan muktamad kedua-dua pihak.
"Kita alu-alukan pengakuan dan kerjasama AS untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia.
"Sekali lagi ditegaskan bahawa proses ini masih berada pada peringkat awal, tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak," kata Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata demikian pada sesi penerangan mengenai tindakan AS mengenakan tarif timbal balas ke atas semua import ke negara dan kesannya ke atas ekonomi Malaysia dalam Sidang Khas Parlimen di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam masa sama, Anwar memaklumkan segala perbincangan antara Malaysia dan AS berhubung tarif timbal balik tidak dapat didedahkan kerana tertakluk kepada Non-Disclosure Agreement (NDA).
Jelas Perdana Menteri, ia adalah selari dengan amalan antarabangsa memandangkan rundingan melibatkan kepentingan strategik dan sensitif.
"Mana-mana perjanjian sebelum dimuktamadkan itu mesti jaga kerahsiaan tetapi tentunya sebaik dimeterai kita akan memaklumkan kepada Jemaah Menteri, dan seterusnya kepada Parlimen.
"Seperti mana saya sebut sekarang Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, dan badan bertanggungjawab terpaksa meneliti semula secara dekat dan terperinci tentang unjuran dan kesannya kepada sektor dan ekonomi secara menyeluruh," katanya lagi.