Ada lagi ke yang belum pernah dengar/tengok video gymkhana Ken Block? Jika belum, ada 6 yang anda perlu tengok juga selepas anda melihat Gymkhana SEVEN di bawah:


Ken Block agak lambat menyinar dari segi menonjolkan dirinya sebagai drebar berprestasi tinggi. Tapi alasan dia bagus – dia terlebih dahulu membuat duit yang agak banyak sebagai salah seorang pengasas jenama DC Shoes. Kemudian beliau bergiat aktif di dalam sukan rali, termasuk WRC. Cuma agak malang kerana Ken tidak pernah menyinar ataupun menang mana-mana perlumbaan; mungkin kerana dia terlalu sibuk nak buat ‘drift’ apa bagai!

Berbanding video-video sebelum ini yang menampilkan Subaru Impreza STI dan Ford Fiesta, buat pertama kali Ken Block menggunakan kereta Ford Mustang ‘notchback’ lama tahun 1965. Masa yang diambil untuk mendapat spesifikasi yang diperlukan adalah 2 tahun dan dibuat di ASD Motorsports di Charlotte, Amerika Syarikat. RTR, iaitu jenama ‘aftermarket’ milik drebar ‘drift’ terkenal Vaughn Gittin Jr – juga seorang rakan Ken Block – turut membawa kepakaran mereka sendiri.

Enjin yang digunakan adalah jenis yang klise untuk kereta-kereta ‘muscle car’ Amerika – V8 dengan 410 inci padu (bersamaan dengan 6.7-liter) daripada hasil kerja Roush Yates. Output pula adalah 845hp dengan kuasa tork sebanyak 976Nm.

Kesemua kuasa ini disalurkan kepada keempat-empat tayar menerusi kotak gear 6-kelajuan buatan Sadev lengkap dengan sistem brek tangan hidraulik. Ini menjadikan kereta yang mendapat panggilan ‘Hoonicorn RTR’ ini sebagai salah satunya kereta Mustang yang pernah mendapat kuasa pacuan empat roda.

Dikatakan bahawa inspirasi rekaan kereta ini datang daripada pelbagai sumber; antaranya kereta-kereta lumba WRC dan DTM, di samping kereta mainan daripada zaman kanak-kanak Ken Block.

Seperti kereta lumba sebenar, casis adalah dibuat menggunakan tiub sepenuhnya bersama ‘roll cage’ khas buatan ASD Motorsports. Ini termasuk juga tapak suspensi depan/belakang. Panel badan ‘widebody’ pula adalah sepenuhnya gentian karbon daripada RTR.

Untuk cengkaman yang diperlukan, tayar jenis Pirelli Trofeo R dengan saiz 295/30/18 digunakan. Keuntungan mendapatkan Pirelli sebagai salah satu penaja video ini adalah Pirelli sanggup menghasilkan kompoun tayar khas untuk Ken Block gunakan dalam Gymkhana SEVEN ini.