[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
MALAYSIA

Kenaikan harga minyak tidak jejas subsidi RON95, hanya gimik terdesak pembangkang - PM

Asyraf Malik 16/06/2025 | 05:47 MYT
Anwar mengecam retorik pembangkang sebagai gimik negatif, menyeru agar fokus diberi kepada usaha membangunkan ekonomi dengan mesej yang lebih positif. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenaikan harga minyak tidak akan menjejaskan subsisi RON95 yang ketika ini dinikmati 85 hingga 90 peratus rakyat Malaysia.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim beri jaminan bahawa subsidi RON95 kekal, meskipun harga minyak dunia meningkat akibat konflik Israel-Iran.
  • Kerajaan akan laksanakan subsidi bersasar pada masa yang sesuai, bagi memastikan sumber negara dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
  • Anwar kecam retorik pembangkang sebagai gimik negatif, menyeru agar fokus diberi kepada usaha membangunkan ekonomi dengan mesej yang lebih positif.

Ia berikutan peningkatan harga minyak ketara susulan konflik Israel-Iran di rantau Asia Barat, lantas timbul cadangan sekarang masa tepat untuk melaksanakan subsidi bersasar.
"Banyak kempen negatif tentang RON95, banyak kali kita (kerajaan) sudah cakap, tiada isu tentang peningkatan harga RON95 yang boleh mempengaruhi subsidi.
"Perkara itu harus sentiasa diingat, apa yang diuar-uarkan blok pembangkang adalah satu gimik terdesak untuk menunjukkan rakyat menghadapi kesusahan.
"Banyak sangat khabar negatif daripada mereka (pembangkang), ketika ini kita perlukan khabar positif untuk membantu membangkitkan ekonomi," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri persidangan Energy Asia edisi kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Isnin.
Tambah Anwar, subsidi bersasar akan dilaksanakan apabila tiba masa sesuai kerana ia kritikal untuk pembangunan negara.
"Kita mahu negara mempunyai sumber mencukupi untuk membantu mereka yang hidupnya susah, menambah baik mutu pendidikan serta memantapkan taraf perkhidmatan awam, antaranya sektor kesihatan," jelas Anwar lagi.
#subsidi bersasar #Perdana Menteri #gimik pembangkang #subsidi minyak RON95 #kenaikan harga minyak #Israel serang Iran #terkini