Kerajaan dicadangkan untuk mengambil langkah proaktif mengenal pasti semua tapak pembuangan sampah haram dan tapak pembuangan kimia haram di seluruh negara.

Tapak itu diibaratkan bom jangka yang boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan orang awam.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata apa yang terjadi kepada Pasir Gudang pada ketika ini juga boleh terjadi kepada mana-mana kawasan yang berisiko.

Katanya, cadangan ini wajar dipertimbangkan bagi mengelak kejadian seumpamanya berulang.

Setakat ini tidak ada jumlah tepat tapak sampah haram dan tapak pembuangan kimia haram seluruh negara.

“Apa yang berlaku di sini boleh berlaku di mana-mana tempat dalam negara. Ada sungai tercemar dan banyak tapak pembuangan sampah haram yang saya dapat lihat apabila saya berpeluang menjelajah negeri ke negeri.

“Ini di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (pembuangan sampah haram atau pembuangan sisa makanan), tetapi untuk industri kimia ini, satu program secara agresif (perlu dilaksanakan) untuk kenal pasti tapak pelupusan sisa kimia di kawasan berhampiran sungai. Itu cadangan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada seminar World Day For Safety and Health At Work di NIOSH Wilayah Selatan di Johor Bahru.

Ujar Lam Thye, peranan dan tanggungjawab masyarakat juga dituntut bukan sahaja menjaga alam sekitar tetapi perlu memberi maklumat berkaitan pencemaran yang dilihat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Masyarakat dan kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih arif dengan lokasi industri perlu bertindak secara proaktif, bagi membendung dan mengelak perkara sama berulang, dan juga demi kesihatan generasi akan datang.

Lam Thye turut mencadangkan agar sisa kimia ini diurus dengan menggunakan strategi cradle to grave.

Ia bagi memastikan sisa kimia berbahaya ini diurus dari masa ia mula dihasilkan, seterusnya diangkut, dirawat, disimpan hingga dilupuskan.