Kenapa ibu, wanita, anak muda perlu sertai flotilla?

Sebahagian daripada aktivis Malaysia yang menyertai GSF. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Demi mempertahankan nilai kemanusiaan untuk generasi akan datang, Aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Farah Lee mengambil keputusan untuk menyertai pelayaran ke Gaza walaupun berdepan pelbagai cabaran dan persepsi.
Ringkasan AI
- Farah Lee sertai flotila demi masa depan anak-anak, menolak dunia yang membenarkan genosid dan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin.Komunikasi Farah dengan anaknya selepas serangan dron tunjukkan sokongan emosi keluarga terhadap perjuangan kemanusiaan yang berisiko tinggi.Gen-Z memainkan peranan penting dalam misi flotila, dengan sikap segera dan penggunaan media sosial yang berjaya ubah persepsi global terhadap isu Gaza.
Farah turut berkongsi ceritanya berkomunikasi dengan anak selepas insiden serangan dron ke atas kapal yang dinaikinya. Antara perbualan beliau dengan anaknya adalah seperti berikut;
Anak Farah: Saya nampak kemas kini (di media sosial mengenai) serangan dron. Saya takut tetapi syukur omma selamat.
Farah: Kamu mahu omma balik rumah atau mahu omma teruskan (pelayaran)?
Anak Farah: Saya mahu omma balik sebab saya mahu omma selamat. Tetapi pada masa yang sama saya mahu omma teruskan untuk bantu orang Palestin.
Dalam temu bual sama, Hazwani Helmi yang turut menyertai flotilla ke Gaza menyentuh mengenai keunikan menyertai misi yang turut dikoordinasi oleh aktivis Gen-Z.
“Saya perhatikan Generasi Z (Gen-Z) mahu semuanya segera dalam kehidupan; kopi segera, mee segera dan sebagainya. Ada baik-buruknya apabila kita bersikap tidak sabar. Tetapi sikap tidak sabar ini ada baiknya yang menyebabkan hari ini kita nampak berlaku perubahan.
“10 tahun lepas orang yang perjuangkan hak Palestin ini ialah kumpulan muslim. Tetapi dengan adanya media sosial dan sikap ‘segera’ anak muda ini menyebabkan dunia sedar bahawa isu Gaza bukan sahaja perjuangan agama, bahkan hak keseluruhan,” ujarnya.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Namun, nasib tidak menyebelahi kesemua aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia apabila ditahan tentera rejim Zionis pada 2 Okt, selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan zon merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
Bagaimanapun, semua aktivis Malaysia berjaya dibawa keluar dari Israel pada 4 Okt hasil usaha keras Perdana Menteri serta bantuan kerajaan Turkiye.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami