Pengumuman modul 'Bina Bangsa' yang baru oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini telah menerima kritikan daripada DAP kerana ia mungkin dapat membantut pelaksanaannya, kata jurucakap Parlimen DAP bagi Pendidikan, Sains dan Teknologi, Zairil Khir Johari.

Zairil yang merupakan ahli Parlimen DAP Bukit Bendera itu turut mempersoalkan keperluan untuk modul berkenaan diperkenalkan bagi sekolah rendah vernakular apabila pendaftaran golongan bukan Bumiputera di sekolah kebangsaan berada pada paras yang lebih rendah, buat masa ini.

"Idea untuk menggalakkan penglibatan pelbagai kaum patut dipuji. Walau bagaimanapun, terdapat kelemahan dalam cadangan Menteri apabila beliau hanya mencadangkan program ini untuk diperkenalkan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan sahaja," kata Zairil dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Menurut beliau, sekolah kebangsaan sebenarnya kini lebih didominasi satu bangsa berbanding dengan sekolah vernakular.

"Walaupun pada 1960-an dan 1970-an sekolah kebangsaan kemasukan pelajar bukan Bumiputera yang tinggi, situasi kini tidak begitu.

"Malah, menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), pelajar Bumiputera kini membentuk 94 peratus daripada kemasukan di sekolah rendah kebangsaan," kata Zairil.

Tambah beliau, ini membuktikan bahawa kemasukan pelajar bukan Bumiputera di sekolah kebangsaan telah menurun kepada hanya 6 peratus.

Sementara itu, Zairil berkata pendaftaran bukan Cina di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina telah meningkat kepada 12 peratus dan semakin meningkat.

Zairil turut menegaskan bahawa hanya dengan mencadangkan sekolah vernakular perlu menjalani program ini, ia memberi gambaran bahawa sekolah-sekolah vernakular adalah penghalang kepada perpaduan negara.

Menurut beliau, ini adalah satu hipotesis tanpa asas empirikal.

"Perpaduan negara tidak bergantung kepada demografi pelajar atau bahasa pengantar yang digunakan di sekolah," kata Zairil.

Daripada meletakkan sistem pendidikan pelbagai aliran di Malaysia sebagai penghalang perpaduan, Zairil berkata Menteri Pendidikan harus melihat nilai-nilai yang disampaikan serta kualiti pendidikan sedia ada, terutama di sekolah kebangsaan.

"Persoalan yang lebih penting adalah mengapa kurang ibu bapa bukan Bumiputera menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan manakala lebih ramai ibu bapa Bumiputera menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan?" tanya Zairil.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa modul 'Bina Bangsa' akan diperkenalkan untuk sekolah rendah jenis kebangsaan bagi menangani kekurangan interaksi antara kaum di kalangan pelajar.

Menurut Mahdzir, kurangnya kemasukan pelajar bukan Melayu di sekolah kebangsaan adalah kerana kewujudan sekolah-sekolah vernakular.