Kenapa ramai berlumba kerjakan umrah ketika Ramadan?

Astro Awani
April 22, 2022 02:00 MYT
Ramai mengambil kesempatan mengerjakan umrah semasa Ramadan bagi memperoleh nikmat beramal ibadat dan mengejar pahala di Tanah Suci Mekah. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ramadan, bulan penuh keberkatan dan kemuliaan, memberi peluang kepada umat Islam untuk mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.
Lantaran itu, ramai mengambil kesempatan mengerjakan umrah semasa Ramadan bagi memperoleh nikmat beramal ibadat dan mengejar pahala di Tanah Suci Mekah.
Pahala sewaktu mengerjakan umrah pada bulan Ramadan ada keistimewaannya yang tersendiri kerana ia adalah setimpal atau menyamai pahala mengerjakan ibadah haji bersama Nabi Muhammad SAW dan sama seperti melakukan haji bersama baginda.
Pahala umrah di bulan Ramadan yang serupa ibadah haji ini dijelaskan dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Ibnu Abbas RA.
"Rasulullah SAW pernah bertanya kepada seorang wanita, 'Apa alasanmu sehingga tidak ikut berhaji bersama kami?'
Wanita itu menjawab, 'Aku ada tugasan untuk memberi minum pada seekor unta di mana unta tersebut ditunggangi oleh ayah fulan dan anaknya (maksudnya suami dan anak wanita itu).
Ia meninggalkan unta tadi tanda diberi minum, lantas kamilah yang bertugas membawakan air pada unta tersebut'.
Lantas Rasulullah SAW bersabda, 'Jika Ramadan tiba, berumrahlah saat itu kerana umrah Ramadan senilai dengan haji'.
Dalam riwayat Imam Bukhari lainnya, Rasulullah SAW bersabda demikian:
"Sesungguhnya umrah di bulan Ramadan seperti berhaji bersamaku."
Berikut antara kelebihan lain menunaikan umrah di bulan Ramadan:
1. Ganjaran pahala mengerjakan solat di Masjidil Haram menyamai 100,000 ganjaran
2. Pahala yang berlipat ganda jika beribadat pada malam Lailatul Qadar. Pahalanya menyamai seperti beribadat seribu bulan, ditambah dilaksanakan di tanah suci, masyaAllah
3. Bulan yang digalakkan untuk bertaubat dan memohon dosa-dosa lalu dihapuskan. Kesan doa serta beristighfar memberi kesan yang sangat mendalam kepada para jemaah.
4. Amalan di Bulan Ramadan merupakan sebaik-baik bulan yang diberikan ganjaran berlipat ganda.
JENDELA RAMDAN AL-MUBARAK
#umrah #Ramadan #Mekah #jendela ramadan