"Kenapa rampas telefon bimbit saya?" - Syed Saddiq persoal tindakan polis, SKMM

Fareez Azman
Mei 22, 2021 07:37 MYT
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meninggalkan IPD Dang Wangi selepas hampir tiga jam memberi keterangan kepada pihak polis. - Gambar Twitter amirxabdhadi
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoal tindakan polis yang merampas telefon bimbitnya ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, tindakan itu dilakukan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat akses akaun Instagram dan Tik Tok kepunyaannya.
Syed Saddiq hadir memberi keterangan selama tiga jam IPD Dang Wangi.
"Saya tidak pasti sama ada merampas telefon bimbit dilakukan secara sah atau tidak, saya serahkan perkara itu kepada peguam. (Soalnya) kenapa nak rampas telefon saya?
"Bagi saya (merampas telefon bimbit) tidak perlu kerana saya secara sukarela membenarkan mereka mengakses akaun saya," kata beliau kepada wartawan ketika ditemui sejurus memberi keterangan.
Syed Saddiq, dalam masa sama mendakwa tindakan yang dikenakan terhadapnya itu bermotifkan politik.
"Saya tak salahkan polis sebab ia bukan daripada mereka dan ia datang daripada SKMM. Saya cuma nak memberi peringatan betapa salah guna kuasa berlaku dalam SKMM ketika ini.
"Mereka aktifkan semula unit untuk menuduh bermotifkan politik," dakwa bekas Menteri Belia dan Sukan itu lagi.
Pengasas parti MUDA itu juga memberitahu, beliau disiasat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.
Dalam kenyataannya sebelum ini, Syed Saddiq berkata, beliau sedia memberi kerjasama bagi membantu siasatan polis berkenaan video yang dimuat naiknya mengenai kematian tahanan, A. Ganapathy.
Mendiang Ganapathy disahkan meninggal dunia pada 18 April lalu selepas lebih sebulan dibawa dari IPD Gombak ke Hospital Selayang.
#Instagram #SKMM #Media #Ahli Parlimen Muar #Syed Saddiq #Parlimen #politik #meninggal dunia #IPD Dang Wangi #siasatan #PDRM #Telefon bimbit #keterangan #A Ganapathy