MALAYSIA

Kenapa tekanan global paksa syarikat nilai semula pengambilan pekerja

FMT Reporters 01/07/2025 | 04:00 MYT
Peralihan ke arah tenaga lebih bersih adalah faktor utama mendorong pengeluar tenaga dan industri berat mengubah cara mereka beroperasi serta siapa yang mereka ambil bekerja. - Gambar hiasan
PETALING JAYA: Daripada korporat global sehingga perniagaan di Malaysia, syarikat pelbagai industri sedang menilai semula model perniagaan bagi menyesuaikannya dengan ekonomi global yang berubah dengan pantas.
Syarikat sedang menyusun semula operasi bagi menyesuaikan dengan perubahan landskap geopolitik, kemajuan teknologi, dan sasaran iklim yang semakin berkembang.
Goodyear antaranya sebahagian daripada strategi penjimatan kos global.
Sementara itu, Astro Malaysia, syarikat kandungan dan hiburan terkemuka negara, telah memperkenalkan langkah menyeluruh bagi memperkemas operasinya selaras perubahan besar yang sedang berlaku di peringkat global dalam sektor media dan teknologi.
Kenapa sekarang? Tiga trend utama mendorong gelombang transformasi ini.
Geopolitik, ketegangan perdagangan paksa penilaian semula
Selepas bertahun mengalami gelombang globalisasi, arah aliran kini mula berbalik. Perdagangan antarabangsa kini dipengaruhi faktor geopolitik, dengan negara berusaha melindungi rantaian bekalan walaupun ia meningkatkan kos.
Amerika Syarikat menaikkan tarif ke atas China dan memberi petunjuk akan ada lebih banyak sekatan yang mungkin menjejaskan Asia Tenggara. Walaupun kekal stabil setakat ini, eksport elektrik dan elektronik Malaysia masih terdedah kepada tekanan geopolitik yang semakin meningkat.
Dalam pada itu, syarikat juga menstruktur semula rantaian bekalan untuk mengurangkan risiko geopolitik. Strategi 'friendshoring' – iaitu memindahkan pengeluaran ke negara dianggap 'mesra' – semakin meningkat, dan Malaysia mendapat manfaat daripada pendekatan ini.
Sebagai contoh Intel, Infineon dan Micron membuat pelaburan besar dalam kemudahan cip baharu di Malaysia. Malah, syarikat dari China juga memindahkan pengeluaran mereka ke Malaysia bagi mengelak sekatan perdagangan AS.
Namun, tidak semua sektor berkembang. Permintaan terhadap semikonduktor menurun tahun lalu selepas lonjakan ketika pandemik, mengakibatkan pemberhentian pekerja dan pembekuan pengambilan kakitangan di kawasan perindustrian di Pulau Pinang. Industri sarung tangan – sektor yang berkembang pesat semasa pandemik Covid-19 – turut mengalami kemerosotan pada 2023, menyebabkan Top Glove menutup kilangnya di China dan Vietnam.
Industri teknologi juga menyaksikan pengurangan tenaga kerja secara besar-besaran. Misalnya, syarikat gergasi dari Lembah Silikon seperti Meta dan Microsoft secara kolektif memberhentikan lebih 30,000 pekerja di seluruh dunia awal tahun ini, hampir 20,000 daripadanya di kawasan teluk San Francisco sahaja. Ini berlaku apabila syarikat mengurangkan saiz selepas pengambilan besar-besaran era pandemik dan menumpukan perhatian kepada AI serta automasi. Kesan serupa turut dirasai lebih dekat dengan kita, apabila pemberhentian pekerja memberi impak kepada hab teknologi di Singapura.
Sektor runcit turut berdepan cabaran tersendiri, dengan unjuran menunjukkan lebih 15,000 premis di AS akan ditutup tahun ini, mungkin mengakibatkan lebih 200,000 kehilangan pekerjaan akibat perubahan tabiat pengguna dan tekanan ekonomi yang meningkat.
Sementara itu, industri automotif sedang melalui penstrukturan besar. Contohnya, Thyssenkrupp mengumumkan rancangan memberhentikan kira-kira 1,800 pekerja disebabkan kelemahan berterusan dalam sektor automotif, dengan alasan penurunan jumlah pengeluaran dan ketidaktentuan akibat kemungkinan tarif baharu.
Bagi kebanyakan perniagaan, inilah realiti proses pengurangan saiz operasi: mengurangkan aktiviti di pasaran menjanjikan pulangan rendah dan memberi tumpuan lebih kepada kawasan mempunyai potensi jangka panjang.
Peralihan tenaga
Peralihan kepada tenaga bersih adalah satu lagi faktor utama. Apabila matlamat iklim semakin ketat, pengeluar tenaga dan industri berat perlu mengubah cara mereka beroperasi dan siapa yang mereka ambil bekerja.
Di Malaysia, syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas dan Tenaga Nasional kini semakin aktif dalam bidang tenaga boleh diperbaharui – yang memerlukan kepakaran baharu dan perubahan dalam komposisi tenaga kerja.
Situasi sama turut berlaku di peringkat global. Pengeluar kereta kini melabur dalam kenderaan elektrik dan mengurangkan peranan berkait enjin pembakaran dalaman. Syarikat tenaga pula beralih dari arang batu kepada tenaga solar dan angin, memerlukan latihan dan penyusunan semula organisasi.
Pelan hala tuju tenaga Malaysia sendiri menyeru peralihan kepada sumber karbon rendah, yang membuka peluang pekerjaan baharu dalam tenaga solar, hidrogen dan infrastruktur pengecasan EV, sambil menamatkan pekerjaan lain secara berperingkat.
Bagi menyokong peralihan ini, kerajaan dan industri sedang melabur dalam program latihan semula bagi membantu pekerja dalam sektor minyak dan gas beralih ke teknologi hijau. Namun, masa semakin suntuk. Syarikat yang bertindak sekarang adalah mereka yang ingin berada di hadapan, bukan akan ketinggalan.
Lakukan lebih dengan sumber terhad: AI, transformasi digital
Selain bertindak balas terhadap kejutan luar, syarikat juga mencari cara untuk meningkatkan produktiviti. Dengan kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI) dan automasi, banyak tugas yang dahulunya dilakukan manusia kini dikendalikan algoritma.
Pada masa sama, bank tempatan sedang bergelut dengan peraturan semakin ketat dan peningkatan pinjaman tidak berbayar, memaksa mereka mengecilkan cawangan serta melatih semula kakitangan bagi operasi perbankan digital.
Mereka juga semakin banyak menggunakan AI bagi khidmat pelanggan, sekali gus mengurangkan keperluan untuk pasukan pusat panggilan yang besar.
Dalam sektor runcit, rangkaian kedai fizikal sedang menutup premis mereka susulan turun naik perbelanjaan pengguna dan kebangkitan platform e-dagang seperti Amazon serta Shopee, mendorong penyesuaian semula ke arah logistik dan pemasaran digital berbanding jualan secara bersemuka.
Trend ini bersifat global. Laporan Bloomberg Intelligence meramalkan sehingga 200,000 pekerjaan dalam sektor perbankan seluruh dunia mungkin digantikan AI dalam tempoh lima tahun akan datang.
Di Malaysia, syarikat induk TikTok, ByteDance, memberhentikan ratusan pekerja daripada pasukan pemantauan kandungan mereka di Kuala Lumpur tahun lalu, selepas alat AI menggantikan banyak tugas manusia.
Malah syarikat pemula (startup) turut merasai perubahan itu. Memandangkan pelaburan semakin sukar diperoleh, mereka lebih mengutamakan pasukan kecil dan efisien yang disokong alat perisian. Kadar pengambilan pekerja menurun, dan banyak syarikat mendapati mereka mampu mengekalkan tahap pengeluaran dengan jumlah pekerja lebih kecil, asalkan teknologi digunakan sesuai.
Bagi pekerja, ini bermaksud meningkatkan kemahiran bukan lagi pilihan tetapi suatu keperluan. Pekerjaan paling terdedah adalah yang mudah diautomasi. Menguasai teknologi dan kebolehan menyesuaikan diri adalah pilihan paling selamat.
Minda perniagaan baharu
Semua perubahan ini – sama ada berpunca daripada geopolitik, AI atau sasaran iklim – mencerminkan perubahan menyeluruh cara pemikiran korporat. Syarikat menyusun semula operasi bukan kerana gagal, tetapi mereka sedang berkembang dan menyesuaikan diri.
Syarikat global sedang menyesuaikan semula operasi, dan pekerja serta perniagaan Malaysia adalah sebahagian perubahan itu.
Sesetengah pekerjaan akan lenyap, manakala yang lain akan berubah. Namun, pekerjaan baharu juga akan dicipta – terutama dalam sektor seperti pembuatan canggih, AI dan tenaga bersih. Kuncinya adalah kesediaan. Mereka yang menjangka perubahan dan menyesuaikan diri lebih awal akan memiliki kelebihan.
Dalam ekonomi global yang tidak menentu, untuk kekal berdaya saing bermakna mengetahui bila perlu mengubah haluan. Syarikat yang melakukannya sekarang kemungkinan besar terus bertahan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
#pelaburan #semikonduktor #Tenaga Boleh Diperbaharui #rantaian bekalan