KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertemu semua ahli Parlimen UMNO sebelum membuat sebarang keputusan menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).

Nazri menegaskan, Zahid sepatutnya bertemu semua ahli Parlimen UMNO kerana keputusan menyertai PN adalah keputusan ahli Parlimen UMNO.

Namun katanya, sehingga saat ini Zahid enggan mengadakan pertemuan dengan semua ahli-ahli Parlimen UMNO.

“Masa nak tubuhkan kerajaan PN dulu, Zahid cakap ini keputusan ahli-ahli Parlimen UMNO, dia tak buat mesyuarat MT pun.

“Sekarang bila nak tarik sokongan bincang dalam MT tapi tak bincang dengan semua ahli Parlimen UMNO.

“Sampai sekarang dia tak jumpa ahli Parlimen UMNO. Sepatut semalam (Selasa) jumpa tapi selepas mesyuarat MT dia cancel,” katanya Astro AWANI.

Nazri juga menegaskan tindakan kumpulan ahli Parlimen yang menyokong keputusan menarik sokongan terhadap PN jelas melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

[LAPOR LANGSUNG] 'Tiada isu peletakan jawatan' - Muhyiddin

Nazri menegaskan kumpulan pro Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak melanggar keputusan PAU 2020 yang memutuskan kekal kerjsama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hingga Parlimen dibubarkan dan “No Anwar, No DAP”.

“Kalau tarik sokongan, mereka nak UMNO jadi apa? Pembangkang? Keputusan PAU yang mahu kerjasama dengan Bersatu putus bila Parlimen bubar bermakna ahli-ahli UMNO mahu parti kekal jadi kerajaan. Ini jelas langgar keputusan PAU.

“Kalau tarik sokongan dan nak jadi kerajaan, nak bentuk kerajaan dengan siapa? Dengan PKR dan DAP? Ini pun langgar keputusan PAU yang kata “No Anwar dan No DAP”, kenapa nak langgar?” katanya.

UMNO sebulat suara tarik balik sokongan terhadap kerajaan PN


Pada Selasa, Zahid mengumumkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan menarik sokongan terhadap PN.

Zahid juga mengumumkan beberapa ahli parlimen UMNO telah menandatangani surat menarik sokongan terhadap PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.