Kenderaan jerlus dalam lubang akibat tanah mendap

Hilmi Malik
November 25, 2019 00:45 MYT
Lubang seluas tiga meter persegi terjadi akibat tanah mendap di laluan Jalan Maharajalela menghala ke Jalan Loke Yew. - Foto PDRM
Sebuah kereta mengalami kemalangan kecil apabila terjerlus ke dalam lubang yang terjadi akibat tanah mendap di laluan Jalan Maharajalela menghala ke Jalan Loke Yew di sini malam tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 11.35 malam itu, kenderaan jenis Perodua Myvi ketika itu dipandu seorang wanita berusia 42 tahun.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkifli Yahya, mendapan tanah terjadi seluas tiga meter persegi.
Kejadian itu bagaimanapun tidak mencederakan pemandu berkenaan.
"Hasil siasatan mendapati, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa melihat jalan raya di laluannya telah runtuh dan mendap, menyebabkan kenderaannya terjatuh ke dalam lubang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, setakat ini, operasi membaik pulih laluan tersebut telah dilakukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
#baik pulih #DBKL #Jalan Loke Yew #Jalan Maharajalela #kereta jerlus #lubang #mendapan #tanah mendap