MALAYSIA
Kenderaan perdagangan tiada SLD tidak boleh berada di jalan raya - Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi dengan sistem Speed Limitation Device (SLD) tidak boleh berada di jalan raya berikutan tidak melepasi pemeriksaan kenderaan, selepas penguatkuasaan pelaksanaan sistem itu bermula secara berfasa mulai 1 Okt ini.
Ringkasan AI
- SLD diwajibkan untuk keselamatan jalan raya Semua kenderaan perdagangan perlu dilengkapi dengan sistem Speed Limitation Device (SLD) mulai 1 Okt, bagi mengawal kelajuan dan mengurangkan risiko kemalangan maut.
- Pelaksanaan berfasa hingga 2026 Tiga fasa diperkenalkan: pengesahan SLD (2025), pengaktifan melalui ECU (2026), dan pemasangan retrofit (Julai 2026) untuk kenderaan yang belum dilengkapi sistem ini.
- Kos bukan keutamaan, nyawa lebih penting Anthony Loke menegaskan bahawa keselamatan awam mesti diutamakan berbanding keuntungan industri, walaupun terdapat bantahan daripada pihak berkepentingan.
"Saya harap ahli-ahli Yang Berhormat sama-sama menyokong usaha kerajaan untuk memastikan pelaksanaan ini dapat berjalan dengan lancar supaya apa sahaja pushback, kita nyatakan bahawa keselamatan mesti diutamakan daripada kos dan keuntungan perniagaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) mengenai impak pelaksanaan SLD dan kos penguatkuasaan, pelaksanaan penyelenggaraan sistem itu serta kesannya jika gagal berfungsi, selain sama ada negara lain telah mewajibkan sistem SLD.
Loke berkata pelaksanaan penguatkuasaan pemasangan SLD secara berfasa bagi semua kenderaan perdagangan bermula pada Oktober ini, terbahagi kepada tiga fasa.
Fasa 1 akan bermula pada 1 Okt melibatkan pengesahan kefungsian SLD bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Jan 2015 manakala fasa 2 yang akan dikuatkuasakan bermula pada 1 Jan 2026 melibatkan pengaktifan SLD dalam Electronic Control Unit (ECU) bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina sebelum 1 Jan 2015.
Fasa 3 pula membabitkan pemasangan peranti SLD secara retrofit (dengan pengesahan JPJ) bagi mana-mana kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi dengan sistem berkenaan. Penguatkuasaan fasa 3 akan bermula pada 1 Julai 2026.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Fathul Huzir Ayob (PH-Gerik) sama ada kementerian bercadang untuk mewajibkan pemasangan sistem cut-off automatic pada bas atau lori bagi mengehadkan kelajuan atau menghentikan kenderaan jika pemandu mengabaikan peraturan keselamatan.
SLD ialah sistem kawalan kelajuan automatik yang berfungsi mengehadkan kelajuan kenderaan secara elektronik melalui ECU, selari dengan matlamat mewujudkan kawalan kelajuan tanpa perlu mematikan enjin (cut-off) sekali gus tidak menjejaskan keselamatan operasi kenderaan.
Loke berkata pelaksanaan SLD terpakai kepada semua kenderaan perdagangan, iaitu kenderaan barangan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 3,500 kilogram (kg) dan kenderaan penumpang dengan BDM melebihi 5,000 kg dan melebihi lapan penumpang.
Menjawab soalan tambahan Fathul Huzir berkenaan dengan cadangan pemasangan sistem keselamatan seperti Automatic Emergency Braking (AEB), Electronic Stability Control (ESC) dan Real Time Monitoring System secara bersepadu dengan SLD serta memperkenalkan kotak hitam bagi kenderaan komersial, Loke berkata kementerian turut mempertimbangkan cadangan itu.
Beliau berkata kementerian perlu melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang pelaksanaan dibuat dengan baik dan teratur.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami