TAPAH: Polis akan memanggil beberapa individu, termasuk seorang artis terkenal bergelar Datuk bagi membantu siasatan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam satu majlis sosial di sebuah ladang dekat Kampung Poh, Bidor.

Ia berikutan penularan gambar majlis tersebut di laman Facebook sejak petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mereka akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Dalam penularan gambar tersebut terdapat pelanggaran SOP PKP 3.0 yang mana tiada penjarakan sosial di antara individu-individu yang terlibat dan tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Wan Azharuddin berkata, majlis itu dipercayai pada 24 Jun lalu.

Menurutnya, perjumpaan itu dipercayai dihadiri ahli peniagaan tempatan dan beberapa penduduk kampung dengan aktiviti seperti jamuan dan karaoke turut diadakan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang majlis atau perhimpunan dalam tempoh PKP 3.0 selain mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu itu dan sentiasa patuh kepada peraturan yang ditetapkan kerajaan.