KUALA LUMPUR: "Biar Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tentukan."

Itu reaksi Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya isu video kenduri durian membabitkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang tular baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat dua kenyataan berbeza dikeluarkan dalam isu tersebut dan menurut Ismail Sabri, perkara itu diserahkan kepada PDRM.

“"Kalau ada isu yang berbeza seperti ini, jadi kita serah kepada polis sebab ada kenyataan yang berbeza. Tentunya polis yang boleh tentukan," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan  di Pusat Pemberian Vaksin Mega (PPV) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.

Tegas beliau, tiada sesiapa kebal daripada undang-undang dan boleh terlepas daripada tindakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi setiap isu yang berkaitan dengan sesiapa sahaja, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang kerana tidak ada orang yang mempunyai kekebalan di negara ini.

“Tetapi untuk tindakan adalah daripada polis yang perlu siasat, jadi kita tunggu laporan polis,” ujarnya.

Astro AWANI pada Rabu melaporkan Mohd Rashid menyatakan video tersebut adalah video lama namun memohon maaf atas kekeliruan yang timbul kerana memberi kenyataan tanpa melihat rakaman itu.

Video berdurasi 13 saat memaparkan Mohd Rashid bersama sekumpulan individu tanpa penjarakan sosial sedang makan durian di sebuah kebun tular di media sosial.

Begitupun, pada Khamis, 11 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kenduri durian yang membabitkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon di kebun durian Batu Pahat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah ketika dihubungi Astro AWANI berkata, Mohd Rashid juga akan datang ke Ibu Pejabat Polis (IPK) Daerah Batu Pahat bagi memberi kenyataan.