Sejak dilancarkan awal tahun ini permohonan terhadap Kenyalang Gold Card (KGC) amat menggalakkan.
Bagaimanapun berlaku sedikit masalah dalam proses agihan kad berkenaan kepada penerima. Ia disulitkan lagi dengan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Justeru Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) mengambil langkah drastik bagi mempercepat dan melancarkan proses agihan.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah menjelaskan antara langkah yang akan dipraktikkan termasuk pengagihan menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sekarang ialah dari segi pengedaran. Jadi kita perlu buat pelan B.

"Kita buat mengikut pecahan DUN. Jadi ada caranya bagaimana kita dapatkan maklumat tersebut," jelas Fatimah pada sidang media di pejabat di bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan agihan 3,595 Kenyalang Gold Card, melibatkan 14 kawasan DUN di Kuching.

Jelasnya lagi pandemik COVID-19 telah menjejaskan proses kelulusan, cetakan dan agihan KGC. Bagaimanapun KWKPK tampil dengan pelan dan kaedah bagi memastikan proses perolehan KGC berjalan lancar.

"Satu pasukan daripada Kementerian, SOCOE dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bekerja tiga hari untuk memastikan bahawa sebahagian daripada yang tertunggak itu dapat kita edarkan pada hari ini," jelasnya.


Setakat 31 Julai lalu KWKPK telah menerima 161,761 permohonan secara manual, manakala permohonan secara dalam talian berjumlah 8,089.

Daripada jumlah berkenaan, 100,903 kad telah dicetak dan jumlah yang telah diagihkan sebanyak 16,964.