Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang mempersoalkan sikap berdiam diri Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di akaun Facebook yang didakwa menyeru orang Melayu memboikot perniagaan kaum Cina.

Ismail di dalam kenyataan itu meminta peniaga Cina untuk menurunkan harga ekoran penurunan harga minyak berkuat kuasa Ahad, 1 Feb.

“Jika seorang pemimpin PAS atau PKR menyeru pengguna Melayu untuk memboikot peniaga Cina agar menurunkan harga atau pemimpin DAP meminta pengguna bukan Melayu untuk memboikot peniaga Melayu agar menurunkan harga, Khalid akan segera menulis tweet arahan kepada pegawainya untuk menyiasat pemimpin DAP atau PR di bawah Akta Hasutan atau akta-akta lain,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Lim juga mendakwa terkejut dengan kenyataan Ismail Sabri dan menganggapnya sebagai “tidak berhati perut, tidak sensitif dan bersifat perkauman.”

Beliau menambah bahawa isu ini melampaui parti politik, bangsa dan agama dan mempersoalkan kenapa seorang “fanatik perkauman masih menjadi menteri dalam sebuah kerajaan berbilang kaum.”

Dalam kenyataannya, Lim turut menyatakan kebimbangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dua minggu lalu tentang hubungan antara kaum dan agama di negara ini sejak menaiki takhta 57 tahun lalu pada tahun 1958.

Dalam kenyataan di akaun Facebook-nya, Ismail Sabri berkata pengguna marah kepada kerajaan jika harga barang tidak diturunkan.

Menurutnya, pengguna Melayu mempunyai kuasa terbesar dan jika mereka memboikot peniaga Cina yang merupakan kaum minoriti, bermakna peniaga Cina tiada pilihan selain menurunkan harga.

Kenyataan itu turut meminta pengguna Melayu untuk membuka mata kerana kuasa membeli berada di tangan mereka.