Kenyataan yang dibuat oleh MP Pandan Rafizi Ramli untuk kali pertama di luar Dewan Negara sudah memadai untuk tindakan undang-undang.

Ini respon Rafizi terhadap cabaran semalam daripada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, yang meminta Rafizi mengulangi tuduhan berkaitan pembekal dakwat kekal sekali lagi dengan menyebut namanya dan timbalannya.

"Ketika di luar Dewan, beliau ulangi kenyataannya tapi tidak sebut nama dan jawatan kami dalam SPR,” kata Abdul Aziz semalam.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Rafizi berkata: “Jika pendedahan saya itu salah, kenyataan saya di luar dewan sudah cukup untuk mereka mengambil tindakan undang-undang.”

Rafizi menyifatkan cabaran tersebut sebagai satu percubaan oleh kedua-dua pucuk pimpinan SPR untuk mengelak dari persoalan sebenar dengan bersembunyi di sebalik isu cabar-mencabar kerana tidak berani

“Isu sebenarnya adalah kegagalan kedua-dua mereka mengendalikan pilihanraya dengan adil, bebas dan telus,” tegas Rafizi.

Rafizi berkata ini dibuktikan dengan pelbagai laporan dan dakwaan terhadap mereka, terutamanya kegagalan pelaksanaan dakwat kekal.

“Apabila diselidiki, didapati bahawa kegagalan dakwat kekal itu berpunca dari kontrak pembekalan yang diberikan secara terus kepada individu tertentu yang turut membolot beberapa kontrak pembekalan lain,”katanya.

Rafizi berkata, Abdul Aziz dan timbalannya iaitu Wan Datuk Wan Ahmad Wan, sebagai pimpinan tertinggi SPR, mereka perlu bertanggungjawab dan menjawab beberapa persoalan, iaitu: “

1. Kenapa syarikat-syarikat milik Mohamed Salleh Mohamed Alli dipilih secara rundingan terus untuk menjadi pembekal barang-barang pilihanraya SPR termasuk dakwat kekal?”

2. Apakah penglibatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dalam urusan perolehan dan pembekalan bahan-bahan pilihanraya, terutamanya dakwat kekal yang menjadi penambahbaikan utama yang diwar-warkan oleh SPR dalam PRU13? Apakah benar kedua-dua mereka lepas tangan sepenuhnya dalam hal ehwal pembekalan sedangkan ia adalah aspek paling utama pelaksanaan dakwat kekal yang diwar-warkan mereka?

3. Apakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak terlibat langsung di dalam sebarang perbincangan mengenai dakwat kekal, termasuk demonstrasi, kandungan kimia, kaedah pelaksanaan dan lain-lain?

4. Semasa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR menjawab pelbagai pertanyaan media mengenai dakwat kekal, apakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak berbincang langsung mengenai perkara ini dengan pegawai-pegawai lain? Mustahil Pengerusi dan Timbalan Pengerusi menjawab media tanpa pengetahuan dan maklumat awal mengenai pelaksanaan dakwat kekal termasuklah hal ehwal logistiknya seperti pembekalan dan lain-lain?

5. Kenapa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR beriya-iya mahu melindungi dan menyembunyikan identiti pembekal dakwat kekal sedangkan pembekal ini telah merosakkan kredibiliti SPR di mata rakyat?”

Rafizi sebelum ini mendakwa pembekal dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ada hubungan rapat dengan kedua-dua pegawai tertinggi SPR.

Rafizi sebelum ini turut mendakwa kontrak membekal dakwat kekal itu diberi secara rundingan terus.
Beliau juga mendakwa syarikat pembekal topi pada PRU13 diberi kepada syarikat sama yang membekal dakwat kekal yang didakwa mudah ditanggal.

Katanya, tiga syarikat yang diberi tender topi itu ada kaitan dengan Mohamed Salleh Mohd Ali selaku pembekal dakwat kekal.

Rafizi berkata, tiga syarikat itu ialah Nash Ventures Sdn Bhd, Ayumi Resources Sdn Bhd dan Bumi Textiles Sdn Bhd, ketiga-tiganya mendapat kontrak menerusi rundingan terus.