Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kenyataan Pemuda PAS Pusat berkenaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud adalah berasas.

Namun, menurut Anwar, beliau perlu meneliti kenyataan penuh daripada pihak Pemuda PAS dahulu sebelum mengulas lebih lanjut mengenainya.

"Kenyataan Pemuda PAS itu ada asasnya tetapi saya perlu lihat kenyataan lengkap terlebih dahulu... tetapi kenyataan (pemuda) PAS itu ada asasnya sebab kalau ada dakwaan (sedemikian) kita perlu teliti," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Yayasan Keamanan Sasakawa, Jiro Hanyu

Jumaat lalu, Pemuda PAS Pusat mendesak Abdul Taib Mahmud 'dibersihkan' dahulu daripada isu salah guna kuasa dan rasuah sebelum dilantik sebagai Yang DiPertua Negeri Sarawak menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng selepas beliau berundur daripada jawatannya nanti.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya memandang serius spekulasi perlantikan tersebut yang dijangka diadakan pada 28 Februari ini.

Katanya, perkara ini berikutan dakwaan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Bruno Manser Fun (BMF) yang mengatakan bahawa keluarga Abdul Taib mempunyai aset bernilai USD$21 Bilion (RM70 Bilion).

Menurut Suhaizan, sehingga kini masih tiada pendakwaan dibuat ke atas Abdul Taib di mana hanya kertas siasatan sahaja dibuka.

Suhaizan turut memaklumkan bahawa Pemuda PAS akan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya Abdul Taib disiasat dan didakwa.

Tambahnya lagi, pihaknya juga akan bertemu dengan pihak Istana Negara bagi memohon Yang DiPertuan Agong untuk tidak melantik Abdul Taib sebagai TYT Sarawak, selagi tuduhan rasuah terhadap dirinya tidak 'dibersihkan'.