KUALA LUMPUR: Kepelbagaian budaya, agama, etnik dan bahasa di Malaysia perlu terus diraikan sebagai kekuatan dalam memperkukuh perpaduan serta membina masa depan negara lebih sejahtera, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran.
Beliau berkata, lebih 130 dialek bahasa digunakan dalam masyarakat mencerminkan kekayaan identiti Malaysia dan menjadi antara keunikan yang perlu dihargai seluruh rakyat.
“Ini harus menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia sentiasa menjaga dan juga menghargai kebebasan yang kita dapat daripada penjajah oleh tokoh-tokoh hebat negara kita.
“Semangat perpaduan itu kita harus jiwai dalam negara kita dan kita harus memahami kita ada pelbagai budaya, agama dan etnik,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.
Yuneswaran berkata, semangat perpaduan juga perlu terus dihayati dalam kehidupan seharian dan tidak hanya disemarakkan ketika sambutan Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia.
“Kita harus mengetahui sejarah kita kerana sejarah ini perlu menjadi panduan untuk kita bersatu padu dan juga tidak lupa Rukun Negara yang menjadi panduan utama untuk menyatukan rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut Yuneswaran, usaha kerajaan dalam memastikan kemajuan ekonomi diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat juga penting dalam membina masyarakat lebih harmoni dan negara yang aman.
Beliau berkata, pembangunan negara perlu dapat dirasai rakyat biasa agar mereka dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan yakin terhadap masa depan Malaysia.
“Kerajaan MADANI sedang melakukan yang terbaik untuk menterjemahkan pembangunan negara kepada rakyat biasa supaya mereka boleh merasai kehidupan yang sejahtera,” katanya.
Sementara itu, Yuneswaran menyeru rakyat supaya terus mengenali dan menghargai budaya, bahasa serta makanan masyarakat lain sebagai langkah memperkukuh persefahaman.
Beliau turut menggesa generasi muda khususnya Generasi Z (Gen Z) untuk menjadi ejen perpaduan dengan memahami sejarah negara dan memainkan peranan menyatukan rakyat.
“Anak-anak muda harus ada tanggungjawab untuk menyatukan rakyat dan mereka sekarang lebih hebat dan terbaik. Peganglah pada prinsip, di mana kita boleh lebih bertoleransi, fahami antara satu sama lain dan terimalah perbezaan kita,” katanya.
-- BERNAMA