Skip to main content

Malaysia

Kepelbagaian Malaysia tidak harus dilihat sebagai kelemahan - Lee Lam Thye

fotoBERNAMA
Lee berkata perbezaan kaum, agama, budaya dan latar belakang merupakan sebahagian daripada identiti Malaysia yang dibina bersama. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kepelbagaian Malaysia tidak seharusnya dilihat sebagai suatu kelemahan dalam menghadapi persekitaran serta cabaran baharu yang semakin tidak menentu, kata pejuang perpaduan Tan Sri Lee Lam Thye.

Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2026 hari ini, Lee berkata dalam menghadapi cabaran berkenaan, perpaduan dalam kepelbagaian harus terus menjadi kekuatan terbesar Malaysia.

Beliau berkata perbezaan kaum, agama, budaya dan latar belakang merupakan sebahagian daripada identiti Malaysia yang dibina bersama.

“Kita mesti menolak kebencian, ekstremisme, sikap tidak bertolak ansur dan usaha untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia.

“Semangat Merdeka mesti mengingatkan bahawa kita Malaysians first dan masa depan kita bersama lebih penting daripada perbezaan yang ada,” katanya.

Lee berkata meskipun kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mentadbir dengan integriti, cekap, telus dan akauntabiliti, rakyat juga mesti memainkan peranan dalam membina sebuah negara yang selamat, harmoni dan berdaya tahan.

Beliau berkata setiap rakyat Malaysia juga harus memikirkan bentuk negara yang ingin mereka wariskan kepada generasi akan datang, iaitu sebuah negara yang membolehkan kanak-kanak membesar dengan selamat, warga emas menjalani hari tua dengan bermaruah, pekerja dilindungi, perbezaan dihormati dan ruang awam selamat.

Lee turut menyeru rakyat negara ini supaya memperkukuh semangat Rukun Negara dan menjunjung prinsipnya dalam kehidupan seharian, di samping meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan sempit serta mengutamakan kerjasama berbanding pertelagahan.

“Cabaran yang mendatang mungkin kompleks, namun Malaysia pernah melalui tempoh sukar sebelum ini. Kita mampu melaluinya sekali lagi jika terus bersatu, bertanggungjawab dan komited terhadap kepentingan bersama,” katanya.

Lee berkata pada Hari Kebangsaan ke-69, rakyat Malaysia perlu memperbaharui ikrar untuk memelihara perpaduan, menjunjung integriti dan bersikap patriotik serta saling menghormati, menjaga keselamatan negara dan bekerjasama membina Malaysia yang lebih selamat, harmoni serta berdaya tahan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement