IPOH: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bimbang kadar vaksinasi COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun masih berada di bawah 50 peratus.

Antara punca utama kekurangan itu ialah kepercayaan songsang terhadap berita tidak benar di media sosial, khususnya dari segi kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, daripada lebih 1.76 juta kanak-kanak yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin, hanya 31 kes yang mendapat AEFI serius dan telah pulih.

"Orang sekarang ni terlampau percaya kepada apa yang ada di media sosial. Kita dah beritahu lama dah, kalau tak jelas jangan kongsi. Tapi semua orang nak jadi pemberita yang pertama yang sampaikan maklumat.

"Sesuatu berita yang tidak sahih tentang vaksin telah dipercayai. Itu satu perkara yang menyebabkan orang takut untuk ambil vaksin dan selalu kebimbangannya tentang kesan. Saya dah beritahu banyak kali dah, AEFI ni memang ada tetapi sikit. Kebanyakan AEFI demam, bengkak, sakit sikit..itu biasa," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 di Taiping, pada Jumaat.

Menurutnya, vaksin yang digunakan adalah sangat selamat dan ibu bapa sepatutnya memberi kanak-kanak vaksinasi bagi melindungi mereka daripada jangkitan kuman dan penyakit yang teruk.

Katanya lagi, kerajaan akan terus memberi penerangan kepada ibu bapa melalui pelbagai platform termasuk menjemput pakar kanak-kanak untuk memberi ceramah di media, termasuk media sosial.

Dalam masa sama, KKM akan turun padang ke kawasan pedalaman untuk memberi vaksinasi, termasuk kepada kanak-kanak.

Sementara itu di majlis yang sama beliau berkata bayi yang menjalani proses penyusuan ibu sekurang-kurangnya enam bulan mampu menghindari penyakit serius, termasuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Ini kerana susu ibu adalah makanan yang cukup zat, selamat dan bersih, berbanding susu formula selain mampu memberi daya tahan atau antibodi yang lebih tinggi kepada bayi.

KKM katanya telah meletakkan inisiatif penyusuan susu ibu dalam kerangka Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM).

Antara pelan tindakan itu ialah Inisiatif Hospital, Rakan Bayi, Klinik Rakan Bayi dan Penubuhan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu.

Dalam pada itu, Dr Azmi berkata peranan majikan adalah penting untuk menyediakan ruang khas bagi golongan ibu kemudahan memerah susu untuk bekalan bayi mereka semasa hari bekerja.