MALAYSIA

Keputusan 1MDB Najib ditangguh, sambung lepas solat Jumaat

Umavathi Ramayah 26/12/2025 | 04:32 MYT
Najib didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Keputusan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi, Istana Kehakiman, di sini, ditangguhkan bagi memberi laluan untuk solat Jumaat.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memaklumkan, prosiding akan bersambung semula pada pukul 3 petang.

Semasa prosiding, hakim berkata, mahkamah masih memerlukan masa kira-kira satu jam untuk membaca baki keputusan berkenaan.

“Sila aturkan supaya tertuduh dibawa semula ke mahkamah ini dan prosiding bersambung jam 3 petang ini,” kata Hakim Collin Lawrence.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Pada 6 Mei lalu, pembelaan menutup kes selepas selesai mendengar keterangan 26 saksi pembelaan yang mengambil masa selama 58 hari.

Perbicaraan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh dunia itu memakan masa keseluruhan selama 293 hari dengan Mahkamah Tinggi mendengar keterangan seramai 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan.

Najib didakwa pada 20 September 2018, dengan perbicaraan kes di peringkat pendakwaan bermula pada 28 Ogos 2019, dan berakhir pada 30 Mei 2024, membabitkan keseluruhan 235 hari dan seramai 50 saksi.

Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memerintahkan Najib membela diri di mana hari pertama prosiding bela diri ialah pada 2 Disember 2024 dan hari terakhir 6 Mei 2025, mengambil masa selama 58 hari dengan 26 saksi.

Najib membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Beliau didakwa melakukan kesalahan berkait suapan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


#kes 1MDB #Najib Razak #pengubahan wang haram #Muhammad Shafee Abdullah