KUALA LUMPUR: Keputusan untuk membenarkan atau menutup operasi sesuatu sektor perlu seragam bagi memastikan semua orang selamat dan penularan virus tidak berlaku.

Pakar Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, dalam kesihatan awam, semuanya harus sama dan agensi terlibat perlu pastikan keseragaman indikator yang digunakan.

“Saya beri contoh, saya minta maaf kalau masukkan elemen-elemen perkembangan politik semasa. Kalau kita lihat, bila keputusan Parlimen dibuka, satu keputusan dan peraturan sangat ketat, ada indikator tertentu dan mengapa tidak boleh dibuka dan sebagainya.

“Tapi keseragaman itu tidak wujud apabila memikirkan sektor ekonomi. Dari segi kesihatan awam, keputusan sepatutnya sama dan seragam untuk semua bagi memastikan semua individu selamat.

“Selain itu, ia dapat elakkan penularan senang berlaku dan akhirnya, apa yang kita harap penularan dapat diturunkan dan semua mereka yang dibenarkan keluar bekerja adalah selamat,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Ahad.


COVID-19 | Pesakit lain terima kesan tidak sepatutnya di hospital

Dalam pada itu, mengulas kes selain COVID-19 yang terpaksa menunggu untuk diberikan rawatan pada masa sekarang, beliau berkata negara kini tiada pilihan selain perlu menunggu kes baharu menurun dan kemudian, barulah rawatan lain dapat dilaksanakan.

“Tumpuan utama kita pada waktu ini adalah untuk menurunkan kes secepat mungkin. Dengan paras kes aktif ada sekitar 224,000, ramai lagi berada dalam ICU, situasi semasa perlu disemak dari semasa ke semasa.

“Ia bagi membolehkan adanya keselamatan apabila kita mula mengambil keputusan membuka pelbagai sektor dan seandainya ada kes baharu, mereka boleh mampu dirawat di hospital dan klinik,” ujarnya.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata hospital yang menyalurkan semua kemudahan mereka bagi memerangi pandemik COVID-19 di negara ini dijangka akan terus 'mengorbankan' pesakit bukan COVID-19.

Menurutnya, ini kerana dalam keadaan sekarang agak sukar untuk pihak hospital melakukan pembedahan ke atas pesakit bukan COVID-19.