SHAH ALAM: Keputusan untuk memberi cuti kepada menteri atau mana-mana individu lain perlu dibuat berdasarkan kepada fakta, bukti sahih dan mempertimbangkan prinsip keadilan serta kesaksamaan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, desakan untuk memberi cuti kepada menteri kerana tindakan pegawai kanannya yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan amalan praktik biasa di negara ini dan tiada undang-undang khusus yang membenarkannya.

“Desakan ini bersifat pramatang dan menimbulkan pertanyaan pelik, berapa kali menteri itu perlu bercuti sekiranya lepas ini ada pegawai dia yang lain pula disiasat.

“Keputusan untuk ‘mencutikan’ seorang menteri adalah kuasa mutlak Perdana Menteri yang harus dibuat berdasarkan kepada fakta-fakta dan bukti yang ada.

“Namun, penting untuk diingatkan bahawa pertuduhan tidak perlu dibuat oleh SPRM untuk mengambil tindakan terhadap seseorang yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada 13 April, SPRM menahan pegawai kanan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar selepas dipercayai bertindak sebagai 'runner' bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pekerja asing.

Sehari selepas itu, seorang lagi pegawai kanannya turut ditahan berhubung kes sama.

Pada 16 April, Sivakumar dilapor hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi merekodkan kenyataan berhubung dakwaan bahawa beliau telah menerima wang secara tunai oleh seorang ahli perniagaan yang juga ditahan SPRM bersama dua pegawai kanannya.

Bagaimanapun, ujar Jais, majikan atau pihak berkuasa ke atas individu tersebut boleh membuat keputusan untuk memberi cuti kepada seseorang dari jawatannya jika terdapat sebab mencukupi yang membenarkan tindakan berkenaan.

“Janganlah kita gopoh dalam menegakkan keadilan dan menjadikan siasatan SPRM sebagai isu politik bagi menjatuhkan lawan.

“Rakyat perlu yakin dan percaya kepada ketelusan proses perundangan negara yang sedia ada dan biarkan ianya dilaksanakan tanpa gangguan,” jelasnya.

- Sinar Harian